Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengambil tindakan terhadap 505 kes kesalahan jualan murah dengan nilai rampasan sebanyak RM769,856 bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata, kesalahan itu termasuk kegagalan peniaga menghantar notis kepada KPDNKK bagi mendapatkan permit untuk mengadakan jualan murah, penjualan barangan tiruan serta tidak mempamerkan tanda harga.

“Peniaga yang ingin mengadakan jualan murah perlu mematuhi Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997.

“Mengikut peraturan itu, mana-mana peniaga yang mahu mengadakan jualan murah perlu terlebih dulu menghantar notis kepada KPDNKK dalam masa 14 hari sebelum tarikh tawaran jualan murah diadakan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan Bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad.

Hasan berkata KPDNKK juga menerima sejumlah 5,363 notis jualan murah daripada peniaga di seluruh negara yang ingin mengadakan jualan seumpama itu bagi tempoh Januari hingga Julai.

Katanya, ia meliputi permohonan bagi mengadakan jualan murah di tiga acara utama yang ditetapkan oleh KPDNKK iaitu Jualan Malaysia GP, Karnival Jualan Mega Malaysia dan Jualan Akhir Tahun Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya menerima sebanyak 1,854 notis jualan murah bagi menyertai Karnival Jualan Mega yang bermula sejak 28 Jun hingga 1 September ini.

“Jumlah jualan murah yang boleh diadakan dalam setahun ialah lapan kali, iaitu tiga kali ditetapkan kerajaan dan baki lima lagi atas pilihan peniaga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Alias berkata, KPDNKK akan menyiasat pembabitan syarikat tempatan dengan sebuah syarikat jualan langsung dikenali sebagai YSLM yang disahkan haram dan tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Beliau berkata, melalui pemantauan dijalankan, pihaknya mendapati YSLM masih bergiat aktif menjalankan aktiviti perniagaan namun cuba dikaburi dengan pembabitan syarikat lain.

Sumber : Harian Metro

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.