APABILA Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone) diwujudkan pada 24 Mac 2014, fungsi utamanya adalah untuk memastikan sempadan perairan pantai timur Sabah tidak bolos seperti yang berlaku ketika peristiwa pencerobohan pengganas Sulu.
Bagi memantapkan pengurusan Esszone, struktur pentadbiran yang dinamakan Pemerintah Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) ditubuhkan pada waktu sama yang bertindak sebagai arahan pusat.
Esszone yang mewakili perairan sepanjang 1,400 kilometer merangkumi 10 daerah Sabah bermula dari Kudat sehingga ke Tawau telah memudahkan pengurusan dan pemantauan dan secara langsung memperbaiki tahap keselamatan sempadan negara.
Jika digabungkan dengan arahan pusat Esscom, kedua-dua entiti tersebut sebenarnya telah mencapai objektif asal iaitu untuk mengekang pencerobohan secara besar-besaran.
Tetapi hakikatnya adalah dalam keadaan struktur yang asal, Esszone dan Esscom tidak mampu mengekang pencerobohan berskala kecil yang didalangi oleh hanya beberapa orang pengganas dengan menggunakan bot kecil.
Beberapa bulan dalam tahun ini sahaja menyaksikan tiga pencerobohan berskala kecil yang bertujuan melakukan penculikan untuk mendapatkan wang tebusan.
Pada April lepas, seorang pelancong dari China dan pekerja resort dari Filipina telah diculik oleh pengganas di perairan Semporna. Dua lagi kes penculikan berlaku selepas itu iaitu pada 6 Mei di perairan Lahad Datu dan terkini berlaku di pusat ternakan ikan di Kunak pada 15 Jun yang lepas.
Mengambil kira pengajaran pencerobohan berskala kecil tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan penstrukturan semula kedua-dua entiti Esszone dan Esscom demi menjaga kedaulatan sempadan negara.
Paling menarik adalah Esscom yang pada asalnya mempunyai satu arahan pusat dibahagikan kepada dua komponen utama yang mempunyai tanggungjawab berbeza. Arahan pusat Esscom yang baharu dibahagikan kepada komponen pengurusan keselamatan dan pertahanan serta komponen penguatkuasaan dan tindakan awam.
Komponen pengurusan keselamatan dan pertahanan, yang diterajui Komander Esscom mengetuai tiga bahagian khusus iaitu perisikan, keselamatan dan pertahanan serta operasi.
Jika diteliti struktur komponen ini ia berkaitan dengan agensi keselamatan negara yang utama iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Pelantikan Datuk Abd. Rashid Harun dari PDRM sebagai Komander Esscom menterjemahkan bahawa komponen pertama ini bertujuan meningkatkan keberkesanan operasi keselamatan dengan menggembleng sumber agensi-agensi keselamatan. Tidak diketahui sama ada jawatan komander ini akan disandang secara pusingan antara agensi keselamatan utama lain tetapi apa yang kritikal adalah komponen ini mempunyai arahan pusat yang khusus.
Tidak kurang pentingnya juga apabila Perdana Menteri mengumumkan kewujudan jawatan Ketua Eksekutif bagi komponen penguatkuasaan dan tindakan awam yang secara khusus memikul tanggungjawab terhadap khidmat pengurusan, penguatkuasaan dan tindakan awam serta khidmat urus setia.
Paling menarik adalah komponen ini berurusan dengan isu pematuhan ke atas undang-undang negara yang berkaitan dengan peraturan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), barang-barang kawalan dan perkara-perkara menyentuh kesejahteraan rakyat.
Menarik kerana pencerobohan berskala kecil ini yang turut melibatkan kes penculikan lebih mudah ditangani melalui pendekatan tersebut.
Salah satu kepincangan Esscom yang asal adalah rantaian perintah yang agak lemah dan tidak efektif walaupun mempunyai satu arahan pusat. Harapan adalah dengan wujudnya dua entiti arahan pusat yang berasingan dalam Esscom, ia akan melicinkan lagi perjalanan rantaian perintah.
Oleh kerana keunikan pantai timur Sabah yang begitu hampir dengan kepulauan selatan Filipina dan juga komposisi masyarakat yang rapat di antara penduduk kedua-dua negara, elemen perisikan memainkan peranan penting dalam pencegahan pencerobohan.
Dalam hal ini tanggungjawab mengumpul maklumat risikan tidak sepatutnya dibebani kepada agensi yang berada dalam komponen pertama seperti PDRM dan ATM tetapi juga melibatkan agensi komponen kedua seperti Imigresen dan JPN.
Perkongsian maklumat risikan kedua-dua komponen adalah kritikal untuk memastikan struktur baru Esscom lebih efektif.
Apa yang lebih penting juga adalah strategi perisikan mesti diturut serta oleh rakyat tempatan kerana golongan ini mengetahui apa yang sedang berlaku di kawasan mereka. Komponen kedua Esscom adalah lebih sesuai untuk mempengaruhi penduduk tempatan supaya turut terbabit menjaga kedaulatan negara.
Bukan sahaja Esscom yang mengalami perubahan tetapi Esszone juga terlibat seperti pengenalan laluan terhad memasuki Sabah sebagai memudahkan pemantauan bot yang keluar masuk perairan negara. Begitu juga dengan penggunaan kapal Bunga Mas 5 sebagai pusat kawalan hadapan laut adalah bertujuan memudahkan tindakan keselamatan dalam Esszone.
Pusat kawalan hadapan ini adalah salah satu entiti utama dalam Esszone yang baharu dan penggunaan Bunga Mas 5 hanyalah untuk jangka masa terhad sementara menunggu struktur kekal pusat kawalan ini siap dibina oleh Petronas. Pemantauan dari pusat kawalan hadapan ini akan menjadi lebih efektif kerana ia dilengkapi dengan teknologi pemantauan seperti radar.
Mungkin ramai rakyat Malaysia masih merasa gelisah dengan keadaan keselamatan di pantai timur Sabah tetapi harapannya adalah entiti baharu Esscom dan Esszone ini mampu melenyapkan kepincangan yang ada sebelum ini. Tetapi apa yang lebih penting adalah penduduk tempatan perlu juga memikul tanggungjawab secara bersama dengan Esscom dengan menyalur maklumat risikan kepada pihak berkuasa.