SHAH ALAM, 15 Mei (Bernama) -- Dua anggota polis dijatuhi hukuman penjara 10 tahun hari ini selepas didapati bersalah merompak dua jurujual wanita di sebuah restoran di Seksyen 27 di sini membabitkan kerugian RM2,400 dua tahun lepas. Hakim Mahkamah Sesyen, Slamat Yahya membuat keputusan itu setelah berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan Lans Koperal Robin Anak Imbal, 30, dan Lans Koperal Muhammad Fitri Ma d Salleh, 30, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan mereka di Mahkamah Tinggi. Slamat turut menaikkan jumlah jaminan setiap seorang tertuduh daripada RM4,000 sebelum ini kepada RM8,000 dengan seorang penjamin, dan memerintahkan mereka melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan. Mengikut fakta kes, kedua - dua anggota keselamatan itu bersama seorang lagi rakan yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan ke atas Lim Poh Wah, 31, dan Tan Keh Shin, 29, pada 14 Nov 2012. Mereka didakwa melarikan wang tunai RM1,000, dua telefon bimbit, sebuah alat pencetak kecil, sekeping SIM kad telefon serta empat helai kertas dicetak empat digit nombor milik Lim. Selain itu, tertuduh juga melarikan wang tunai RM250 milik Tan serta sebuah telefon bimbit. Kedua - dua anggota keselamatan itu didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 petang di Restoran Century Court, Jalan Perepat 27/95, Seksyen 27. Mereka dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Fazreen Othman dan kedua - dua tertuduh diwakili peguam Mohd Shaiful Nizam Mohd Noor. Sumber : BERNAMA

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.