KUANTAN 6 Sept. – Pengamal perubatan di negara ini sama ada kerajaan atau swasta diingatkan agar menjaga etika profesion ketika berurusan dengan pesakit.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Lokman Sulaiman berkata, dalam profesion perubatan setiap pegawai dan kakitangan dititikberatkan dengan etika yang membolehkan pesakit tidak bimbang dengan perkhidmatan yang diberikan.

“Kita bekerja dalam bidang ini ada etika khas yang tidak seharusnya dilanggar di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Etika Penggunaan Media Sosial dalam Sektor Awam.

“Sejak dari zaman dahulu hingga sekarang, belum ada lagi pengamal perubatan yang melanggar peraturan dan etika seumpama ini.

“Justeru, ini bermakna tidak ada gambar pesakit yang boleh diambil ketika rawatan dilakukan lebih-lebih lagi untuk disebarkan pula selepas itu,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Hepatitis Sedunia Peringkat negeri 2015 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam terhadap kes rakaman gambar selfie oleh seorang doktor wanita yang tersebar di laman sosial baru-baru ini.

Menurut Lokman, tindakan selfie tersebut boleh memberi kebimbangan terhadap pesakit yang menjalani rawatan perubatan.

“Jika perlu ambil gambar, ambil gambar tetapi pengamal perubatan perlu betul-betul faham tujuannya dan bukan untuk disebarkan.

“Dengan itu, anggota dan kakitangan pengamal perubatan di setiap jabatan perlu tahu etika perubatan dan ingat-mengingati dalam setiap urusan supaya tidak timbul sebarang masalah lagi,” jelasnya.

Dalam pada itu, kementerian juga menganjurkan program Needle Exchange bagi penagih dadah untuk mengelakkan mereka berkongsi jarum yang boleh menyebarkan virus hepatitis.

“Sekiranya ada pesakit yang datang untuk mendapatkan jarum suntikan, kakitangan kesihatan dan perubatan seharusnya memberikan sahaja tanpa banyak persoalan. Tidak perlu melakukan sebarang saringan, pertanyaan dan sebagainya.

“Bukanlah tugas kita untuk menapis atau mempertikaikan mereka, tugas kita adalah untuk menyediakan jarum suntikan dan dengan cara ini dapat mengelakkan penggunaan berulang,” katanya.

Sumber : Utusan Online

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.