KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Sebanyak 10 saksi akan dipanggil dalam sesi pertama pendengaran awam Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), berhubung kes kematian tahanan dalam lokap polis, N. Dharmendran, dua tahun lepas.
Sesi pendengaran awam yang bermula hari ini sehingga 31 Julai depan diketuai dua Pesuruhjaya EAIC iaitu Vinayak Prabhakar Pradhan dan Leong May Chan.
Sepuluh saksi yang dipanggil bagi memberi keterangan pada sesi pertama terdiri daripada anggota keluarga mangsa, majistret, pakar patologi, pakar kimia dan pembantu perubatan.
Vinayak berkata prosiding tersebut mengikut aturan di bawah Seksyen 35 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) adalah bagi menentukan sama ada terdapat salah laku oleh mana-mana anggota atau pegawai polis berkaitan dengan kematian tahanan tersebut.
"Sesi pertama prosiding ini akan berlangsung sehingga 31 Julai manakala sesi kedua akan bermula pada 17 sehingga 21 Ogos depan," katanya pada prosiding itu di bangunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), di sini.
Saksi yang hadir dalam sesi pendengaran awam hari ini adalah isteri Dharmendran, M. Marry dan bapa Dharmendran, V. Narayanasamy serta jurugambar Polis Diraja Malaysia (PDRM), Konstabel Khairil Anuar Mansor.
Turut hadir dalam prosiding itu ialah dua perunding yang dilantik EAIC mengikut kepakaran masing-masing iaitu bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Jamil Johari dan bekas Pesuruhjaya EAIC Profesor Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahbudin.
Dharmendran dilaporkan ditahan pada 11 Mei 2013 dan meninggal dunia sepuluh hari kemudian pada 21 Mei ketika dalam tahanan di ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur, di sini.
Susulan itu empat anggota polis Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh Dharmendran.
Pada 12 Dis 2014, Mahkamah Tinggi di sini membebaskan empat anggota polis itu daripada tuduhan membunuh kerana mendapati tiada kes prima facie terhadap mereka.
Prosiding bersambung esok.
-- BERNAMA