KUALA TERENGGANU, 22 Julai (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengingatkan nelayan, pemancing dan orang ramai yang melakukan aktiviti di laut agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sepanjang berada di lautan.
Pengarah Operasi Daerah Maritim 9 Kuala Terengganu Komander Maritim Simon Templer Tusa berkata pemakaian jaket keselamatan amat penting jika berlaku sesuatu bencana dan kecemasan ketika berada di laut.
Katanya, saranan yang dilakukan itu juga dapat menggelakkan daripada berlakunya kehilangan nyawa dan sebaliknya.
"Dengan memakai jaket keselamatan dengan betul ia mampu bertahan dalam tempoh tertentu daripada mangsa terus tenggelam, selain itu mereka juga harus peka dengan keadaan cuaca," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas berhubung pencarian dua pemancing yang hilang di perairan Dungun sejak Ahad lalu beliau berkata pihaknya telah memperluaskan kawasan pencarian di sebelah utara sehingga ke perairan Pulau Redang.
Jelasnya, keluasan pencarian itu berdasarkan pada faktor tiupan angin ke utara dengan kelajuan 20 hingga 30 kilometer sejam ditambah dengan masa yang berlarutan sejak kedua mangsa dilaporkan hilang.
"Disebabkan faktor ini kita mempunyai sebab kemungkinan mangsa dihanyutkan sehingga ke lokasi tersebut, jadi kita telah gerakkan aset untuk memperluaskan pencarian ke kawasan tersebut," katanya.
Dalam kejadian pada kira-kira 3.30 petang itu, bot gentian kaca yang dinaiki kedua-dua mangsa Mohd Sabrie Kamaruddin, 22 dari Dungun dan Mohammad Syahril Asmadi Yusoff, 22, dari Kuala Lumpur dipercayai sedang memasuki muara Kuala Dungun sebelum ia karam dipukul ombak.
-- BERNAMA