TANAH MERAH 15 Julai – Jabatan Imigresen berjaya mengumpul kompaun berjumlah RM31 juta sejak 1 Januari lalu menerusi program Serah Diri Sukarela yang diperkenal pada tahun lepas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, pihaknya berjaya mengutip jumlah tersebut setelah 78,752 pendatang asing tanpa izin (PATI) mendaftar diri untuk pulang ke negara asal masing-masing.

“PATI yang melakukan kesalahan tinggal melebihi tempoh dan tanpa permit yang sah tidak akan dikenakan tindakan sekiranya mereka menyerah diri menerusi program ini.

“Program ini membantu PATI untuk pulang ke negara asal, namun mereka perlu membayar RM100 untuk pas khas dan RM300 untuk kompaun,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Iftar Jabatan Imigresen Malaysia di sini semalam.

Pada majlis tersebut, seramai 20 anak yatim serta kakitangan jabatan itu yang bertugas pada hari raya menerima sumbangan.

Mustafa berkata, PATI dari Indonesia mencatat penyumbang tertinggi yang melakukan kesalahan tinggal melebihi tempoh dan tanpa permit sah iaitu seramai 39,827 orang.

“Ini diikuti Nepal (9,148), India (6,468), Bangladesh (6,034), Myanmar (5,043), Pakistan (4,135), Vietnam (3,083), Sri Lanka (1,621), Filipina (1,084), Kemboja (913) dan lain-lain warga (1,396),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mustafa memberitahu, pihaknya telah menahan 11 PATI menerusi Op Bersepadu yang diadakan selama lima hari bermula 9 Julai lalu.

“Daripada jumlah tersebut, sembilan daripadanya merupakan warga Thailand dan selebihnya masing-masing warga Kemboja dan Indonesia yang ditahan pada Isnin lalu ketika sekatan jalan raya di Jeram Perdah, Rantau Panjang, Pasir Mas.

“Lapan warga Thailand dan seorang warga Kemboja ditahan mengikut kesalahan 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 manakala selebihnya ditahan di bawah kesalahan 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Tambahnya, kesemua yang ditahan telah dihantar ke depot tahanan di sini bagi siasatan lanjut.

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.