BENTONG 12 Julai - Langkah tegas diumumkan kerajaan negeri semalam dalam usaha menangani isu alam sekitar di Cameron Highlands dan terbaharu, perlombongan bauk­sit secara berleluasa di Bukit Goh, Kuantan.

Bagi isu penerokaan tanah di Cameron Highlands, kerajaan ne­geri tidak lagi membenarkan pembukaan kebun sayur berskala besar manakala masalah perlombongan bauksit di Kuantan menyaksikan pembatalan semua 34 lesen perlombongan bijih (MOL) yang melibatkan kebenaran mengangkut bahan mineral itu bermula 31 Julai ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, hanya petani yang menepati kriteria akan diberikan kebenaran mengusahakan tanah dalam keluasan minimum antara 1.2 hingga 1.6 hektar di Cameron Highlands bagi mengatasi masalah penerokaan tanah secara haram serta hakisan daripada terus berlaku di pusat peranginan tersebut

“Kita akan menyenarai pendek semua pemohon agar pengusaha kebun dalam saiz kecil yang mencari nafkah untuk menyara keluarga mereka sahaja dibenarkan mengusahakan kebun,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Berbuka Puasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di sini.

Menurut Adnan, kerajaan negeri akan mengenal pasti kawasan yang tidak boleh dilakukan kegiatan pertanian.

Berhubung keengganan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima pelawaan untuk menyertai Jawatankuasa Kemajuan Pembangunan Tanah (JKPT) Cameron Highlands, beliau berkata, niatnya adalah bagi menunjukkan ketelusan kerajaan negeri dengan membuat undangan tersebut.

Dalam pada itu, berhubung isu perlombongan di Bukit Goh beliau berkata, kini hanya 11 lesen yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) iaitu bagi melombong, mengangkut dan mengeksport bauksit masih sah digunakan di negeri ini berikutan keputusan membatalkan MOL oleh Jabatan Mineral dan Geosains.

Katanya, keputusan drastik itu dibuat selepas pelbagai tindakan termasuk perjumpaan dan amaran oleh kerajaan negeri serta agensi berkaitan tidak memberi kesan, malah kegiatan perlombo­ngan bauksit terus menjejaskan penduduk setempat.
“Beberapa pertemuan dengan kontraktor diadakan sebelum ini bagi meminta mereka menjalankan kegiatan perlombongan mengikut etika dan bertimbang rasa terhadap orang lain namun saya lihat tiada perubahan sebelum amaran terakhir diberikan kepada mereka Rabu lalu,” katanya.

Beliau berharap pembatalan MOL berkenaan dapat memastikan aktiviti perlombongan bauksit yang tidak sah dan menjejaskan penduduk setempat tidak terus berleluasa.

Sementara itu, beliau mendakwa, penduduk setempat termasuk peneroka di tanah rancangan Felda di negeri ini bersekongkol dalam aktiviti perlombongan bauksit yang menjadi antara punca kegiatan itu terus berleluasa.
Katanya, sikap segelintir penduduk yang mengutamakan ha­buan jangka pendek menyebabkan masalah perlombongan bauksit ini terus berlaku.

“Saya mendapat tahu operator bauksit memberikan orang kampung duit RM1,000 sebulan, jadi mereka tidak kisah rumah berdebu atau berhabuk sebab dapat duit itu. Malah ada peneroka hendak jual tanah mereka tetapi saya sekat kerana jika dibenarkan, kita khuatir seluruh Felda Bukit Goh itu akan jadi lombong bauksit,” katanya.

Sumber : Utusan Online

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.