JOHOR BAHRU 5 Julai - Jabatan Imigresen akan me­ningkatkan pengawasan di semua laluan keluar masuk Malaysia-Singapura bagi membanteras penggunaan laluan tikus oleh individu tertentu yang ingin mengelak pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor, di sini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, pihaknya telah mengesan beberapa tindakan menyusup keluar menggunakan laluan tikus dengan melalui landasan kereta api Johor Bahru-Singapura untuk ke Singapura.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil selepas ini jika pihak­nya dapat mengesan dan menahan individu yang mengambil jalan mudah menggunakan laluan haram itu untuk ke tempat kerja di Singapura.

“Pada masa ini kita ambil tindakan pencegahan dahulu dengan tujuan untuk memberi pengajaran, namun selepas ini tindakan tegas akan dikenakan supaya orang ramai tidak memandang mudah perkara tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai Murni dan Perjumpaan Bersama Ketua Pengarah di Bangunan Sultan Iskandar, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Abdul Halim Ismail dan Pengarah Imigre­sen negeri, Rohaizi Bahari.

Menurut Mustafa, hingga kini pihaknya telah menahan 54 individu yang cuba menyusup keluar menggunakan laluan tikus tersebut dalam serbuan beberapa hari lalu.

“Dalam serbuan pertama seramai 37 orang ditahan kerana menggunakan laluan kereta api tersebut.

“Serbuan kedua seramai 14 orang ditahan dan yang terbaharu hanya tiga orang diberkas,” katanya.

Ujar Mustafa, walaupun statistik tangkapan menunjukkan penurunan, tindakan pengawasan dan penguatkuasaan di kawasan yang dipercayai sering digunakan sebagai laluan haram terus dipertingkatkan.

“Kita akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tentang masalah ini termasuk untuk menutup laluan haram itu dan hingga kini kita masih belum mengenal pasti pemilik tanah di kawasan tersebut,” katanya.

Sumber : Utusan Online

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.