KLUANG 3 Julai - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa resolusi dicapai dalam Mesyuarat Tergempar Menteri-Menteri ASEAN di Kuala Lumpur semalam diharapkan akan dapat menangani isu pemerdagangan manusia di Asia Tenggara.

Beliau berkata, empat negara anggota iaitu Thailand, Myanmar, Indonesia dan Malaysia sendiri pada mesyuarat itu juga bersetuju untuk menyelaraskan tindakan penguatkuasaan perundangan terhadap ejen dan sindiket pemerdagangan manusia.

Sementara negara-negara lain katanya, memberi sokongan sepenuhnya terhadap usaha pencegahan pemerdagangan manusia serta perlakuan jenayah rentas sempadan.

“Kami akan ambil beberapa tindakan penguatkuasaan perundangan terutama dari segi pelaksanaan sistem biometrik (cap jari) terhadap mangsa pemerdagangan. Selain itu, hukuman paling berat juga akan dikenakan terhadap ejen-ejen dan sindiket yang membawa mangsa-mangsa ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Di Dalam Bulan Ramadan di Penjara Simpang Renggam di sini malam ini.

Ahmad Zahid yang mewakili Malaysia dan mempengerusikan mesyuarat itu turut meluahkan kekecewaan dengan sikap komuniti antarabangsa yang meletakkan kesalahan kepada negara yang menerima mangsa pemerdagangan manusia dan bukan negara sumber yang menjadi punca masalah itu.

“Masyarakat antarabangsa mendakwa kononnya negara-negara ini tidak memberi perlindungan atau apa jua bentuk bantuan lain yang diperlukan mangsa.

“Mereka (komuniti antarabangsa) tidak menyalahkan negara-negara sumber yang menyebabkan isu itu berlaku sedangkan kalau dilihat, kebanyakan sindiket pemerdagangan manusia berada di Teluk Benggal,” katanya.

Beliau berharap dengan pelaksanaan resolusi itu, komuniti antarabangsa akan berhenti membuat andaian sedemikian.

- BERNAMA

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.