KUALA LUMPUR 2 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan agar diwujudkan satu pasukan khas bagi menyiasat dan meneliti sebenar punca yang menyebabkan dua juta pekerja asing ghaib di negara ini.
Pasukan khas tersebut perlu dianggotai oleh semua jabatan berkaitan warga asing agar dapat berbincang dan sekali gus mencari penyelesaian isu lambakan warga asing.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dr. Abu Kassim Mohamed berkata, pasukan tersebut perlu dibentuk mengikut fungsi dan peranan masing-masing bagi melihat punca kelemahan itu.
“Boleh jadi ini berpunca daripada kelemahan sistem yang ada, penguatkuasaan atau daripada syarikat yang menguruskan pekerja asing.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia perlu ada sekali bagi menyelesaikan isu berkaitan penguatkuasaan, manakala jika melibatkan rasuah, SPRM akan ambil tindakan dan cari masalah yang sebenarÂnya,†katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Program Merakyatkan SPRM bersama Asian Finance Bank Berhad dan Rumah Titian Kaseh di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini.
Yang hadir sama, Ketua Eksekutif Asian Finance Bank Berhad, Datuk Mohamed Azahari Kamil.
Beliau mengulas isu dua juta pekerja asing yang dilaporkan ghaib selepas menjadikan sektor pembinaan sebagai transit kemasukan ke negara ini sebelum berpindah ke tempat lain atau ke sektor-sektor lain.
Pada masa sama, baru-baru ini kerajaan mengumumkan kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh ke negara ini bagi tujuan pekerja asing baharu ke dalam negara.
Tambah Abu Kassim, semua pihak berkaitan tidak boleh lepas tangan atau sering menuding jari kerana isu ini membabitkan isu keselamatan awam dan kepentingan awam.
“Jika membabitkan rasuah di syarikat-syarikat yang menguruskan pekerja asing, kita akan siasat semua aspek terutama melibatkan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
“SPRM juga menggerakkan semua pegawai SPRM turun padang ke rumah-rumah kongsi warga asing serta berjumpa ejen mereka bagi mendapatkan maklumat sekiranya ada permintaan wang atau ugutan, selain memberi panduan bagaimana menyalurkan maklumat kepada kita.
“Justeru, dengan cara itu kita akan dapat lebih banyak maklumat serta mengenal pasti bentuk dan tindakan yang boleh diperbaiki dan dibuat,†katanya lagi.
Dalam perkembangan isu kontrak ekspres, Abu Kassim berkata, badan penyiasatan SPRM akan meneliti kelemahan semula sistem e-perolehan yang menyebabkan berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pegawai kerajaan.
“Kita akan lihat kelemahan dan syorkan apa juga penambahbaikan supaya satu mekanisme kontrak boleh dilaksanakan bagi menutup segala peluang dan ruang berlakunya rasuah,†ujarnya.
Mengulas program hari ini, Abu Kassim berkata, majlis diadakan bagi meraikan 130 anak yatim sempena bulan puasa, selain memberi sumbangan duit raya bagi berkongsi kegembiraan untuk menyambut hari raya tidak lama lagi.
Sumber : Utusan Online