KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menjalankan siasatan jika wujud salah guna kuasa atau penyelewengan dalam proses membida set nombor pendaftaran kenderaan atau plat khas baharu iaitu PATRIOT 1, yang didakwa bernilai melebihi RM1.3 juta.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tiada isu yang perlu dibangkitkan dalam soal terbabit dan baginya tiada kesalahan mengeluarkan plat kenderaan sedemikian.

"Saya tidak bimbang sebab tiada benda yang hendak disembunyikan dalam perkara ini, SPRM boleh buat siasatan kalau ada salah guna kuasa dan penyelewengan tetapi semak dengan rekod siapa yang sebenarnya meluluskan PATRIOT 1," katanya dalam sidang media di sini Khamis.

Isu nombor plat pendaftaran kenderaan itu timbul apabila harga bidaan bagi nombor plat kenderaan PATRIOT 1 meningkat melebihi RM1.3 juta. Ia dilaporkan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membenarkan Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM) mengendalikan lelongan, dengan hasilnya digunakan YPNM bagi mempromosikan semangat patriotisme.

Kempen nombor plat "PATRIOT" untuk nombor 1 hingga 9999 dilancarkan (YPNM) pada 1 Jun dan harga bidaan RM1.3 juta bagi PATRIOT 1 dipercayai paling mahal dalam sejarah di negara ini.

YPNM memohon bagi projek itu semasa Hishammuddin menjadi pemangku Menteri Pengangkutan namun ia hanya diluluskan selepas Datuk Seri Liow Tiong Lai mengambil alih kementerian itu.

Pada sidang media itu, Hishammuddin berharap tiada pihak yang melaga-lagakannya dengan Liow dalam isu ini.

"Mungkin ada usaha ke arah itu (melaga-lagakan), saya tidak bimbang sebab tiada apa yang hendak disembunyikan," katanya.

Mengulas mengenai isu Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Teluk Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang yang dikatakan tidak lagi sesuai menjadi markas strategik berikutan berhampiran dengan kawasan perumahan, Hishammuddin menyerahkan kepada TUDM untuk menjawab isu itu.

"Saya difahamkam Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Roslan Saad telah membuat kenyataan media baru-baru ini. Saya memberitahunya selagi anda bebrasa pangkalan itu selamat, anda hanya jawab apa yang perlu dijawab kepada orang ramai. Ada perkara yang boleh dimaklumkan kepada orang ramai dan ada perkara yang tidak boleh kerana kepentingan nasional," katanya.

Baru-baru ini akhbar melaporkan Pangkalan Udara Butterworth tidak selamat digunakan untuk tujuan ketenteraan berikutan terdapat faktor-faktor yang boleh membimbangkan tahap keselamatan pangkalan berkenaan.

-- BERNAMA

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.