SEREMBAN, 1 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri kurang bersetuju dengan penalti yang akan dikenakan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) kepada setiap ketua rumah yang tidak mengasingkan sisa pepejal mulai 1 Sept ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pelaksanaan penalti itu perlu dikaji semula kerana tahap kesedaran masyarakat mengenai pengurusan terbaik bagi sisa pepejal masih rendah.
"Kerajaan negeri kurang bersetuju dengan cara tersebut. Kita lebih cenderung untuk beri masa kepada masyarakat dan kita buat kempen betul-betul dan dalam masa yang sama kita ajar kanak-kanak sekolah berkenaan sistem kitar semula.
"Sistem kitar semula ini perlu kita ajar dan latih dan bukan dengan mengenakan penalti sahaja," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Katanya pelbagai usaha untuk mendidik masyarakat perlu ditingkatkan oleh pihak berwajib sebelum penalti ini dilaksanakan kerana ia bukan cara terbaik untuk mendidik masyarakat terutama di peringkat akar umbi.
Tambahnya, tidak semua perkara boleh dijayakan dengan mengenakan penalti kepada orang ramai malah ia boleh jadi tekanan kepada masyarakat tanpa mereka menyedari kebaikan pengurusan sisa pepejal tersebut
Mohamad berkata penambahan sebuah lagi tong sampah bergerak juga boleh dilaksanakan oleh pihak kementerian bagi membantu masyarakat mengasingkan sisa pepejal tanpa mengotorkan kawasan rumah.
"Pihak SWCorp juga perlu menyediakan sebuah lagi tong sampah khas untuk pengasingan sisa pepejal yang boleh dikitar semula dan tidak boleh dikitar semula," katanya.
Pelaksanaan pengasingan sisa pepejal akan dilaksanakan bermula 1 Sept depan dan mereka yang gagal berbuat demikian akan diberikan surat amaran bermula tarikh tersebut dan akan dikenakan penalti RM1,000 bermula 1 Jan tahun depan.
Terdahulu, Mohamad menyampaikan bantuan kepada 17 orang termasuk program aktiviti badan bukan kerajaan seperti Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan, bantuan sekolah, sukan, pendidikan dan penyiapan rumah terbengkalai di Siliau, Rantau.
-- BERNAMA