CAMERON HIGHLANDS 29 Jun – Usaha memulihkan pusat peranginan ini daripada pelbagai masalah seolah-olah menemui jalan buntu ekoran amalan rasuah yang terus menjadi budaya segelintir anggota pihak berkuasa di situ semata-mata mahu hidup senang.
Lebih mengecewakan, anggota yang khianat itu didakwa mengambil kesempatan daripada operasi pihak berkuasa seperti sekatan jalan raya dan perobohan aset di kebun haram bagi ‘mengutip’ habuan masing-masing.
Satu sumber mendakwa, akibat amalan rasuah tersebut, Op Gading yang digerakkan hujung tahun lalu ibarat hangat-hangat tahi ayam dan dilihat hanya berkesan ketika awal pelaksanaannya kerana masalah pendatang asing tanpa izin (PATI), penanam atau pengusaha haram masih berleluasa di tanah tinggi berkenaan.
“Sepatutnya penguat kuasa datang ke sini bagi menyelesaikan masalah, bukannya menimbulkan masalah. Punca utama adalah rasuah, umpamanya segelintir penguat kuasa yang mengadakan sekatan jalan raya sanggup menerima jumlah sogokan serendah RM50 bagi melepaskan pesalah.
“Begitu juga ketika operasi merobohkan kebun haram apabila ada penguat kuasa mengambil dan menerima hasil dikeluarkan pekebun tersebut,†dakwanya kepada Utusan Malaysia.
Sumber itu mendakwa, amalan rasuah oleh segelintir penguat kuasa ketika mengadakan sekatan jalan raya mengakibatkan PATI kembali memasuki pusat peranginan ini dan hasil-hasil pertanian pekebun haram dibawa keluar.
Katanya, selain wang tunai, penguat kuasa yang mengabaikan amanah mereka turut menerima sogokan dalam pelbagai bentuk seperti menerima penghantaran minuman dan makanan ketika bertugas, tajaan pelancongan serta menukar aksesori kenderaan.
Dalam pada itu, sumber tersebut turut mendedahkan modus operasi PATI dan pengusaha haram yang menggunakan jalan pintas termasuk menerusi hutan bagi melepasi sekatan jalan raya dilakukan pihak berkuasa.
“Sekatan jalan raya lazimnya diadakan di Ringlet, Simpang Pulai dan Lojing namun lokasi-lokasi ini sudah mereka ketahui untuk meloloskan diri sekali gus membayangkan operasi dijalankan adalah sia-sia,†katanya.
Menurut sumber itu, bagi meloloskan diri, PATI menempah sebuah kereta dengan upah kira-kira RM1,000 untuk empat orang yang akan mengambil mereka di satu tempat dijanjikan selepas melepasi sekatan jalan lain menggunakan jalan pintas.
“Pemandu kenderaan yang mengambil upah daripada mereka kebiasaannya membawa barang-barang tertentu termasuk beg pakaian bagi membolehkannya melepasi kawalan sekatan jalan raya,†ujarnya.
Sumber : Utusan Online