Tetapi artikel ini tiada kaitan dengan bola sepak. Persamaannya hanya satu iaitu antara pertahanan sebuah pasukan bola sepak dan pasukan penguat kuasa di sempadan. Kedua-duanya memainkan peranan penting bagi memastikan kawasan mereka tidak diceroboh.

Sempadan memainkan peranan paling tinggi bagi menentukan keselamatan negara. Bagaimanapun berdasarkan maklumat yang diperoleh penulis, kita harus menerima hakikat bahawa kawalan keselamatan di sempadan negara ini masih lemah. Begitu mudah dibolosi sehingga mengakibatkan dari segi ekonomi kerajaan kerugian berbilion ringgit manakala keselamatan negara terancam.

Keadaan itu berlaku bukan kerana kita tidak mempunyai pasukan keselamatan dan penguat kuasa di sempadan tetapi berpunca daripada ‘semangat juang yang luntur’ oleh segelintir dalam kalangan mereka akibat gejala rasuah.

Bayangkanlah kita ada tidak kurang tujuh agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab di situ tetapi malangnya penyeludup dan ketua sindiket lebih hebat daripada mereka, sebab itulah segelintir anggota penguat kuasa begitu mudah menjual maruah mereka kepada sindiket. Akibatnya lunturlah semangat juang bagi mempertahankan sempadan sehingga memungkinkan sindiket mengambil kesempatan habis-habisan.

Janganlah terus bersikap ‘sudah terantuk baru terngadah’. Justeru cadangan supaya diwujudkan sebuah agensi tunggal atau khusus bagi menjaga sempadan negara tidak boleh dipandang acuh tak acuh sahaja oleh kerajaan.

Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mempertimbangkan dengan serius penubuhan agensi tunggal itu seperti mana disokong oleh banyak pihak. Kewujudan agensi seumpama itu bukanlah satu langkah yang aneh atau janggal, malah ia terbukti berkesan seperti mana di United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).

Contohnya, UK Border Agency (UKBA) memainkan peranan penting dalam perkara berkaitan kastam dan imigresen di sempadan negara itu serta melaporkan terus kepada Kementerian Dalam Negeri UK. Begitu juga di AS, agensi utama yang diberi amanah menjaga sempadan ialah Homeland Security Department.

Kedua-dua agensi ini memainkan peranan penting di negara masing-masing. Oleh itu, sudah tiba masanya kerajaan Malaysia mencontohi langkah UK dan AS dengan bersedia mewujudkan agensi tunggal menjaga sempadan.

Ketika inilah perlu diakui bahawa penjagaan di sempadan boleh dianggap masih ‘carca marba’. Agensi-agensi yang terlibat seolah-olah tidak ada koordinasi. Masing-masing dengan cara tersendiri, apa bila berlaku sesuatu masalah, maka kita ada mendengar kisah ‘bangau oh bangau’.

Kewujudan agensi khusus itu diharapkan akan menggabungkan semua agensi penguat kuasa dalam satu bumbung seperti mana kewujudan ESSCOM. Beberapa pegawai kanan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersetuju supaya agensi seperti ESSCOM ditubuhkan bagi mengawasi sempadan.

‘’Mahu tidak mahu, inilah pilihan terbaik. Kalau kita mahu membanteras rasuah sempadan dan memastikan sempadan tidak terus diceroboh, penubuhan sebuah agensi tunggal yang berfungsi ESSCOM mesti dilaksanakan,’’ kata seorang pegawai kanan sebuah agensi penguat kuasa, ketika ditemui, di Kuala Lumpur, semalam.

Bagi memastikan agensi itu benar-benar sebuah badan penguat kuasa berwibawa, pegawai dan anggotanya juga mestilah dipilih dalam kalangan mereka berintegriti tinggi dan mempunyai rekod perkhidmatan bersih.

Perlu diakui dalam mana-mana juga organisasi penguatkuasaan masih terdapat ribuan lagi penguat kuasa yang tidak sanggup menyuap anak isteri dari sumber rezeki haram melalui amalan rasuah. Golongan itulah yang perlu menjadi pilihan untuk menganggotai agensi tunggal menjaga sempadan berkenaan.

Selain ESSCOM, kerajaan juga sebelum ini sudah mewujudkan Pasukan Petugas Khas (Task Force) di bawah kendalian Jabatan Peguam Negara. Pasukan itu amat besar jasanya kepada negara apabila berjaya menyelamatkan berbilion ringgit wang negara daripada ketirisan melalui kegiatan penyeludupan dan penyelewengan.

Dalam bahasa mudah, kita mempunyai kemampuan untuk menubuhkan atau mewujudkan sesebuah agensi khas apabila berhadapan dengan sesuatu situasi. Sekarang sudah jelas, sempadan kita berhadapan dengan kawalan keselamatan lemah akibat amalan rasuah dan pengawalan sempadan yang carca marba.

Oleh itu, masalah tersebut perlu diatasi segera. Kita tidak boleh selama-lamanya memberikan seribu satu alasan berhubung cadangan penubuhan agensi khusus bagi menjaga sempadan tersebut.

Soal keselamatan dan kedaulatan negara tidak boleh kompromi. Begitu juga usaha membersihkan kawasan sempadan daripada kelompok yang bersedia menjadi pengkhianat kepada tanah air sendiri dengan mengamalkan rasuah.

Pembentukan agensi khusus itu memerlukan pertimbangan daripada fikiran terbuka, bukannya dipengaruhi sentimen sayangkan pasukan tidak bertempat. Apa gunanya kita mahu menjaga kepentingan atau imej pasukan, kalau di dalamnya ada yang bertindak bagaikan ‘gunting dalam lipatan’ dan ‘duri dalam daging’.

Semoga cadangan penubuhan agensi tunggal itu tidak akan sekadar menjadi hiasan di dalam media sahaja.

Bertindaklah sebelum terlambat kerana ketika segelintir anggota penguat kuasa mudah terlena dengan pujukan rasuah, penjenayah pula tidak pernah tidur daripada kegiatan jahat mereka.

Sumber : Utusan Online