KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Dasar tidak menerima hadiah yang dilaksanakan beberapa syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat mengelak daripada berlakunya konflik kepentingan dalam kalangan pihak-pihak yang mempunyai urusniaga dengan syarikat berkenaan. Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM) Dr Anis Yusal Yusoff dalam satu kenyataan di sini berkata ia juga merupakan satu usaha murni untuk menerapkan budaya integriti. Menurutnya, dasar itu telah lama dilaksanakan syarikat-syarikat dan GLC termasuk Petronas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Kumpulan Media Prima, Telekom Malaysia, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Malaysia Airports Holdings Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), UEM Group Berhad dan Prasarana Negara Berhad. Beliau menjelaskan, pada masa ini lebih 520 syarikat, agensi kerajaan dan pertubuhan telah menandatangani Integriti Korporat yang merupakan antara usaha kerajaan meningkatkan integriti dan ketelusan dalam tadbir urus sesebuah syarikat. "Di bawah dasar ini, kakitangan tidak dibenarkan menerima atau memberi sebarang hadiah berbentuk peribadi kepada mana-mana pihak luar yang ada kepentingan perniagaan," katanya. Sehubungan itu, Dr Anis Yusal berkata IIM menyokong dan mengalu-alukan lebih banyak syarikat dan pertubuhan melaksanakan amalan 'Dasar tidak menerima hadiah' lebih-lebih lagi dalam musim perayaan. Beliau juga berharap pihak syarikat dan agensi kerajaan dapat melakukan pemantauan dan memperkukuhkan mekanisme kawalan dalaman untuk memastikan perkara itu menjadi satu amalan dalam budaya korporat. "Pelaksanaan dasar ini tidak hanya terhad semasa musim perayaan tetapi perlu diamalkan sepanjang masa oleh semua kakitangan syarikat, tidak kira pengurusan atasan atau pegawai pelaksana dan kumpulan sokongan," katanya. Tambahnya dalam Perkhidmatan Awam, garis panduan pemberian dan penerimaan hadiah untuk penjawat awam telah dilaksanakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil 3. Tahun 1998. Garis panduan itu merangkumi penerimaan dan pemberian hadiah dalam kalangan pegawai-pegawai awam, jabatan kerajaan, kesatuan dan pertubuhan yang melibatkan pegawai awam dan kelab kebajikan dan sukan. -- BERNAMA
Sumber : Bernama Online