Dalam BAHAGIAN KEDUA laporan khas ini, wartawan Utusan Malaysia, ILAH HAFIZ AZIZ, NORAZRIN MARZUKI, MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR dan LILIS SURIANI OMAR mendedahkan pula modus operandi sindiket dalam memastikan segelintir anggota penguat kuasa ‘berada dalam genggaman’ mereka. Turut didedahkan bagaimana segelintir anggota penguat kuasa menerima suapan dalam bentuk harian dan bulanan sehingga memungkinkan sempadan kita ibarat ‘laluan’ untuk kegiatan penyeludupan

KUALA LUMPUR 21 Jun -  Sikap khianat segelintir anggota agensi penguat kuasa terus menjadi `duri dalam daging’ sehingga mengakibatkan sempadan negara begitu mudah dibolosi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Apa yang membimbangkan biarpun gejala itu sudah berlanjutan sejak dua dekad lalu namun sehingga kini amalan rasuah didakwa terus berlaku di sempadan negara.

Sumber memberitahu, meskipun penambahbaikan serta cadangan demi cadangan yang komprehensif diberikan, namun sistem perjalanan kerja yang dilakukan penguat kuasa di sempadan masih berada di takuk lama sehingga mengakibatkan kegiatan rasuah menjadi budaya dalam kalangan mereka.

“Kelemahan itu menjadi faktor utama ramai pihak yang tidak bertanggungjawab mendapat peluang dan kesempatan untuk membeli penguat kuasa dengan wang ringgit.

“Lebih menyedihkan, dengan hanya suapan serendah RM20 ringgit sahaja, pintu masuk di sempadan negara terus dicabuli dengan pelbagai kegiatan penyeludupan yang akhirnya memberi kesan negatif kepada negara,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelemahan itu juga dakwa sumber itu, diketahui pegawai atasan atau ketua-ketua jabatan yang menyelia sistem kerja penguat kuasa namun sehingga kini tiada sebarang tindakan drastik diambil sejak bertahun lamanya.

Sumber berkata, pegawai atasan mengambil mudah tentang perjalanan kerja anggota mereka sehingga sanggup menutup sebelah mata meskipun mengesan atau mengetahui berlakunya kejadian rasuah.

“Ketirisan di sempadan ini bukan benda setahun dua berlaku sebaliknya telah berpuluh-puluh tahun dan hampir mencecah lebih dua dekad lamanya.

“Perkara ini berpunca akibat pegawai atasan yang tidak memberi perhatian terhadap cara kerja anak buah mereka. Antara yang dikesan adalah kurangnya pemantauan secara berkala serta tidak turun padang untuk menyelia sendiri setiap aturan kerja penguat kuasa.

“Malah apabila terdapatnya laporan salah laku, tiada tindakan drastik dilakukan dan pegawai yang melakukan kesalahan rasuah masih dibiarkan berkhidmat di lokasi sama, Tindakan itu seolah-olah mereka tutup sebelah mata dan tidak ambil peduli,” katanya.

Utusan Malaysia turut difahamkan, operasi yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di sempadan utara negara baru-baru ini adalah disebabkan permasalahan ini, yang membelenggu agensi-agensi penguatkuasaan sejak sekian lama di seluruh negara.

“Walaupun laporan secara dalaman telah diberikan namun tiada tindakan drastik dilaksanakan malah sempadan negara terus diceroboh ekoran sikap tidak berintegriti sebilangan penguat kuasa.

“Walaupun jumlah tangkapan sekadar sekitar 40 penguat kuasa sahaja namun bilangan itu dilihat tinggi memandangkan isu ini melibatkan isu keselamatan negara,’’ kata sumber itu lagi.

Sumber : Utusan Online