Sebagai contoh, hanya sembunyikan senjata api yang ingin dibawa masuk di bawah dan celahan toto dan bantal yang disusun, hulurkan ‘duit tol’ kepada penguat kuasa yang bertugas dan kenderaan boleh meneruskan semula perjalanan.

Mingguan Malaysia yang berpeluang menyertai risikan oleh pasukan keselamatan menyaksikan sendiri bagaimana mudahnya pintu masuk negara dibolosi walaupun lebih sepuluh pegawai atau anggota penguat kuasa bertugas.

Situasi pertama, sebuah van membawa muatan berpuluh-puluh guni beras yang dibeli di selatan Thailand dan di atas susunan beras tersebut, diletakkan selimut toto dan bantal bagi menyembunyikan ‘barangan sebenar’ yang kononnya mahu diseludup.

Setibanya di tempat pemeriksaan Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bukit Kayu, Hitam, Kedah, pemandu van hanya mengangkat tangan dan menegur penguat kuasa bertugas.

Tanpa melakukan sebarang pemeriksaan ke atas kenderaan itu, van tersebut meneruskan perjalanan dengan mudah dan tanpa rasa khuatir, beras yang ‘diseludup’ telah pun selamat tiba di utara semenanjung.

Keesokan hari pula, sebuah pemandu lori yang menyeludup diesel menghulurkan ‘duit tol’ kepada penguat kuasa yang mengawal sempadan. Tiada pemeriksaan dilakukan biarpun anggota penguat kuasa melihat tong bahan bakar itu.

Apa yang mengejutkan, difahamkan penguat kuasa yang menghalang perjalanan lori itu meminta sejumlah wang daripada pemandu sambil berjanji urusan ‘penyeludupan’ akan lebih mudah dan lancar pada masa akan datang.

Dua situasi itu adalah modus operandi yang kebiasaannya digunakan sindiket penyeludupan antarabangsa sama ada melibatkan pengedaran dadah, penyeludupan senjata api mahupun manusia.

Bayangkan bagaimana dahsyatnya penyeludupan yang berlaku di pengkalan-pengkalan haram atau boleh diibaratkan sebagai ‘laluan tikus’ untuk bolos ke negara ini.

Menurut sumber, di Kelantan sahaja lebih 100 pengkalan haram dikesan beroperasi bagi memudahkan aktiviti penyeludupan.

“Pihak kami percaya di sepanjang sempadan pintu masuk negara di bahagian utara semenanjung, lebih 200 pengkalan haram dan kebanyakannnya melibatkan laluan sungai,” kata sumber itu.

Sumber : Utusan Online