KUALA LUMPUR 10 Jun – Masalah penyeludupan rokok haram dilihat semakin kritikal apabila statistik terkini menunjukkan produk tersebut menguasai 32.8 peratus daripada jumlah rokok di pasaran tempatan.

Timbalan Pengarah Kastam (Pe­nguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili berkata, kerajaan mengalami kerugian RM1.84 bilion daripada hasil cukai tembakau kerana masalah itu.

“Selain penyeludupan rokok, komoditi lain yang banyak diseludup adalah minuman keras yang juga menyumbang kepada kerugian hasil cukai kerajaan seperti yang disebutkan.

“Pencegahan harus dilakukan dengan segera kerana perkara ini turut berpotensi untuk menyumbang kepada pelbagai masalah lain seperti isu kesihatan rakyat dan masalah sosial yang semakin kronik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Operasi Pacak (Op Pacak) Peringkat Selangor dan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Yang turut hadir Pengarah Kastam Negeri Selangor, Datuk Badaruddin Mohamed Rafik.

Menurut Matrang, Op Pacak merupakan operasi bersepadu yang melibatkan beberapa agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Jabatan Imigresen dan Majlis Perbandaran Selayang.

“Jika Operasi Outlet (Op Outlet) hanya melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, operasi kali ini pula melibatkan kerjasama pelbagai pihak bagi membanteras pembekalan, penjualan dan penyimpanan rokok dan minuman keras seludup.

“Seramai lebih kurang 70 pegawai kastam ditugaskan 24 jam sehari selama dua minggu bermula 7 Jun lepas untuk meronda, menerima aduan dan menyerbu premis yang menjual dan menyimpan rokok seludup di kawasan operasi,” katanya.

Tambah Matrang, pihaknya sentiasa mengambil langkah serius dan agresif dalam menangani gejala penyeludupan.

“Kami menyasarkan pengura­ngan kerugian hasil cukai tahunan sebanyak 30 peratus di samping meningkatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti haram ini.

“Masyarakat harus sedar, walaupun menawarkan harga yang sangat murah, bahan kandungan yang digunakan adalah sangat berbahaya malah ada rokok seludup mengan­dungi kandungan nikotin dan tar lebih daripada yang ditetapkan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Sumber - Utusan Online
Tarikh - 11 Jun 2015

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.