Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, tindakan memburu kira-kira 50,000 syarikat terbabit akan dilaksanakan oleh ja­batan itu sepanjang Mac ini terma­suk mengenakan tindakan kompaun sebanyak RM15,000.

Tegasnya, pihak jabatan mempunyai keupayaan menjejaki sya­rikat-syarikat itu malah sudah me­ngenal pastinya berdasarkan mak­lumat yang diperoleh daripada agensi kerajaan yang lain.

“Jangan fikir mereka mampu melarikan diri. Kita akan menyerbu ke syarikat mereka apabila operasi besar-besaran dilakukan sepanjang Mac ini dan tindakan tegas terma­suk kompaun akan dikenakan kepada pesalah.

“Malah kita mempunyai kuasa yang diperuntukkan bagi melaksanakan daftar paksa terhadap sya­rikat-syarikat itu jika mereka berjaya dikesan dalam operasi nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Perumahan Kastam Sepanggar dan Majlis Pecah Tanah Projek Ibu Pejabat Kastam Sabah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ke­tua Pengarah Kastam, Datuk Abdul Rahman Othman, Pengarah Kastam Sabah, Datuk Dr. Janathan Kandok dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Borhan Dollah.

Khazali berkata, semua tindakan tegas yang akan dilaksanakan itu bukan langkah kejam terhadap peniaga, sebaliknya pihak jabatan masih memberikan satu tempoh un­tuk kumpulan syarikat perniagaan tersebut mendaftar.

Jelasnya, meskipun kastam tidak seharusnya memberikan satu tempoh masa lagi setelah pendaftaran GST tamat pada hujung tahun lalu, atas budi bicara, peluang itu masih diberikan.

Katanya, atas sifat timbang rasa juga, kastam memberi peluang kepada syarikat tersebut untuk menjawab surat makluman berhubung kegagalan mendaftar di bawah skim GST yang telah diedarkan kepada mereka sebelum ini.

“Namun tempoh yang diberikan hanya pada bulan ini. Sebaik sahaja berakhir tempoh yang diberikan, tindakan tegas akan dikenakan dan kita akan memburu kumpulan syarikat perniagaan yang berdegil ini,” ujarnya.

Sementara itu menurutnya, kastam meletakkan sasaran perolehan hasil keseluruhan sebanyak RM46 bilion pada tahun ini menerusi sistem percukaian lama iaitu cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berakhir Mac ini dan pelaksanaan GST bagi menggantikan SST.

Tambahnya, daripada jumlah sasaran hasil tersebut, kastam Sabah dijangka menyumbangkan kira-kira RM1.26 bilion dan merupakan satu sasaran realistik berdasarkan pertumbuhan baik ekonomi di negeri ini.

Sumber: Utusan Online