KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) disaran mewujudkan pusat pemantauan di kawasan kuala Sungai Burung, Perak sebagai langkah menangani kejadian pencerobohan bot pukat kenka di Tanjung Piandang, Kuala Kurau, Perak. Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Datuk Yaacob Md Sam berkata APMM perlu menambah bilangan anggota penguatkuasa, pos kawalan, menyediakan peralatan mencukupi serta melakukan rondaan secara mengejut ke kawasan berkenaan. "Ini bagi memastikan bot-bot pukat tidak terus merosakkan ekosistem hidupan laut yang sekali gus menjejaskan hasil tangkapan dan pendapatan nelayan pesisir pantai," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ini adalah antara langkah yang dicadangkan EAIC berikutan kejadian pencerobohan bot kenka di kawasan berkenaan. Yaacob berkata APMM juga perlu mengemas kini semula prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara dalam mengendalikan aduan supaya segala maklumat atau identiti pemberi maklumat tidak dibocorkan. Beliau berkata Jabatan Perikanan juga perlu menghapuskan lesen pukat kenka, dan tidak menyambung lesen sedia ada yang tamat tempoh. Selain itu, katanya peruntukan di bawah Akta Perikanan perlu dipinda supaya hukuman, kompaun atau denda yang lebih berat dapat dikenakan kepada pemilik bot kenka kerana melanggar syarat lesen bot penangkapan atau peralatan penangkapan ikan. "Kami harap syor ini dapat mengatasi masalah berkaitan pencerobohan dan ia dapat diatasi dengan penuh berintegriti oleh semua pihak terlibat," katanya. Selain itu, beliau turut meminta tiga agensi utama iaitu APMM, Jabatan Perikanan dan Polis Marin untuk sentiasa mengadakan rondaan pemantauan bersama dengan lebih kerap bagi memastikan pencerobohan bot ini dapat dikurangkan. Isu pencerobohan bot-bot kenka di kawasan perairan berkenaan berlaku sejak 2007 dan masih berterusan hingga kini kerana tiada tindakan proaktif dan berkesan oleh agensi penguatkuasaan, menyebabkan pengusaha bot mengambil kesempatan mencerobohi kawasan tangkapan ikan yang mereka tidak dibenarkan beroperasi, katanya.
 

Sumber : Bernama

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.