BUKIT MERTAJAM - Tiada kes tahanan warga asing yang didera sehingga mati di Depot Tahanan Warga Asing di Juru, di sini. Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menerusi kenyataannya baru-baru ini memaklumkan dakwaan berkenaan adalah tidak tepat dan tidak berasas. Pengerusi EAIC Datuk Yaacob Md Sam berkata, susulan daripada laporan media kononnya berlaku insiden penderaan sehingga menyebabkan kematian tujuh warga asing yang terdiri lima warga Kemboja dan dua warga Vietnam pada bulan lalu, pihaknya telah membuat lawatan mengejut ke depot tahanan berkenaan pada 22 Ogos lalu bersama dua orang pegawai daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). “Hasil daripada lawatan yang dijalankan, EAIC mendapati dakwaan kematian warga asing dan penderaan yang dilaporkan seperti di atas adalah tidak benar dan tidak berasas. “Seramai 10 orang tahanan wanita telah ditemu bual oleh penyiasat EAIC termasuk satu-satunya wanita Kemboja yang masih ada di depot tersebut yang bernama Kheng yang berumur 18 tahun. "Kheng yang ditahan mulai 1 Julai 2016 atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah telah mengesahkan layanan yang baik oleh pegawai imigresen dan tiada tahanan yang didera sepanjang beliau berada di depot tersebut,” katanya. Yaacob berkata, sebelum Kheng ditempatkan di depot tersebut, terdapat 17 orang warga Kemboja wanita telah ditahan di situ dari bulan Disember 2015 sehingga bulan Jun 2016. Katanya, kesemua 17 orang tahanan warga negara Kemboja tersebut telah dihantar pulang ke negara Kemboja pada 13 Julai 2016. Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan gesaan dua ahli parlimen di negeri ini yang mahukan penjelasan Kementerian Dalam Negeri berikutan kematian beberapa warga asing dalam tahanan Jabatan Imigresen Pulau Pinang. Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto sebelum ini berkata, pihaknya mengambil berat apa yang dilaporkan oleh sebuah portal berhubung kematian warga asing di Depot Tahanan Warga Asing di sini dan perkara ini perlu diambil perhatian kerana ia melibatkan maruah negara dalam menangani kumpulan warga asing. Menurutnya, pihaknya mendapat maklumat mengenai lima warga asing daripada Kemboja dan dua warga Vietnam telah meninggal dunia ketika dalam pusat tahanan terbabit. “Ini bukannya kes pertama tahanan warga asing yang dilaporkan telah dipukul atau diseksa malah ada banyak kes tahanan wanita dicabuli secara seksual dan ada juga yang dirogol. “Dalam insiden yang berlaku di pusat tahanan ini dua wanita warga Kemboja yang telah dihantar pulang telah menceritakan pengalaman pahit mereka apabila mereka dipukul oleh warden depoh tahanan tersebut tidak memahami arahan pegawai di situ,” katanya. Sementara itu, Yaacob berkata, hanya enam kematian membabitkan warga asing yang direkodkan berlaku di pusat tahanan berkenaan manakala hanya satu kematian yang telah direkodkan pada tahun ini sehingga bulan Jun 2016 melibatkan seorang tahanan perempuan warga Kemboja berumur 26 tahun iaitu pada 5 Jun 2016.

Sumber: Sinar Harian

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.