PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menafikan dakwaan media Kemboja (The Cambodia Daily) dan beberapa media tempatan pada 17 Ogos lalu bahawa tujuh warga asing mati didera di depoh tahanan Imigresen. Penafian itu dibuat susulan lawatan mengejut EAIC bersama dua pegawai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) ke Depot Tahanan Imigresen Juru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 22 Ogos lalu, di mana didakwa berlaku penderaan lima warga Kemboja dan dua warga Vietnam itu sehingga mengakibatkan kematian. Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md Sam, berkata dakwaan itu didapati tidak berasas selepas penyiasat EAIC menemu bual 10 tahanan wanita termasuk Kheng, 18, satu-satunya wanita Kemboja yang masih ada di depot itu. "Dia yang ditahan mulai 1 Julai lalu atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, mengesahkan layanan yang baik oleh pegawai Imigresen dan tiada tahanan yang didera sepanjang berada di depot itu. "Sebelum Kheng ditempatkan di depot itu, terdapat 17 orang wanita warga Kemboja ditahan di situ sejak Disember 2015 sehingga Jun 2016. Semua mereka sudah dihantar pulang ke negara asal pada 13 Julai lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Jelas Yaacob, bagi kes tahanan meninggal dunia dalam depot tahanan atau meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, ia diuruskan mengikut butiran Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Mengenai Tatacara Pengendalian Jenayah pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Yang Meninggal Dunia Dalam Tahanan. Komandan Depot bertanggungjawab membuat laporan polis serta-merta mengenai kematian di balai polis berdekatan, memastikan mayat simati tidak diubah kedudukan sehingga ketibaan pegawai perubatan, pegawai polis dan Koroner sebelum mayat boleh dihantar ke hospital. Tambah beliau, Komandan Depot juga bertanggungjawab mendapatkan sijil kematian dan membuat laporan mengenai kematian tahanan kepada Ketua Pengarah Imigresen, Pengarah Imigresen Negeri, Pengarah Bahagian Penguatkuasa serta makluman kepada Wisma Putra dan kedutaan warga negara tahanan terbabit. Sementara itu, kata Yaacob, pemerhatian dan pemeriksaan EAIC mendapati 19 kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di sekitar depot tetapi semuanya tidak berfungsi sejak 2014 dan difahamkan tidak dibaik pulih berikutan faktor kekurangan kewangan. Sehubungan itu, katanya, EAIC akan menulis kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia supaya perhatian serius dan tindakan segera diambil untuk memperbaiki kemudahan sedia ada selain menyegerakan pembinaan bangunan baharu Depot Tahanan Imigresen Juru.

Sumber: Berita Harian

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.