KUALA LUMPUR 21 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengarahkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengkaji semula Akta Koperasi 1993 (502) yang dilihat tidak bersesuai­an dalam menguruskan perniagaan pada masa kini. Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sektor koperasi kini telah mengorak langkah de­ngan menyertai pelbagai bidang yang memberi impak tinggi dan kompetitif sekali gus memperoleh pulangan lebih besar. “Bagaimanapun, dalam industri perniagaan pada era masa kini memerlukan segala proses dilakukan dengan cepat dan tadbir urus yang bersesuaian. Oleh itu, kita telah mengarahkan SKM mengkaji semula akta koperasi fasal yang mengekang mereka menjalankan perniagaan. “Selain itu, kita akan melaksanakan pembahagian koperasi mengikut tiga peringkat iaitu peringkat pertama diberikan ciri-ciri seperti pelbagai kemudahan, kedua diberi kelonggaran dan akhir sekali memperketatkan akta sedia ada supaya koperasi terbabit berdaya saing dalam industri masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Koperasi Negara 2016 peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini. Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Henry Sum Agong; Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Basaruddin Sadali; Timbalan Ketua Setiausaha (Francais dan Kepenggunaan), Datuk Razali Othman; Pengerusi Eksekutif SKM, Dr. Noor Zari Hamat dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah. Terdahulu, dalam majlis tersebut, Anugerah Tokoh Koperasi Wilayah Persekutuan diberikan kepada Pengerusi Koperasi Telekom Malaysia Bhd. (Kota Mas), Datuk Ismail Nordin dan sebanyak 10 koperasi diberikan Anugerah Koperasi Terbaik Wilayah Persekutuan mengikut sektor masing-masing. Dalam pada itu, Hamzah berkata, pihaknya mahu sektor koperasi lebih berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa serta tidak mahu dilabelkan sebagai sektor untuk mereka yang pencen sahaja. Katanya, gerakan koperasi kini mencapai peningkatan memberangsangkan iaitu pemilikan aset sebanyak RM123 bilion de­ngan anggota seramai 7.5 juta serta bilangan koperasi sebanyak 12,769 dan catatan perolehan RM33.5 bilion pada tahun lalu. “Koperasi kini merupakan salah satu sektor yang menjana pendapatan negara dan setanding dengan syarikat-syarikat besar serta yakin mereka boleh lebih maju jika benar-benar komited dalam perniagaan masing-masing. “Malah, kita juga optimis gerakan koperasi mampu mengharungi cabaran bukan sahaja perbezaan ideologi politik bahkan cabaran ekonomi yang tidak menentu. Oleh itu, manfaatkan peruntukan sebanyak RM100 juta yang diluluskan kepada sektor koperasi untuk mempertingkatkan ekonomi rakyat melalui gerakan koperasi,” katanya.

Sumber: Utusan Online

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.