Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd. Zawawi Salleh yang bersidang bersama Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa agensi itu melakukan kecuaian sehingga mengakibatkan kematian pegawai tersebut.

Kuorum berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Ogos tahun lalu yang menolak tuntutan saman balu Allahyarham Ahmad Sarbaini, Masiah@Maziah, 55, dan anaknya Shahril, 32.

Pada 4 April 2014, Masiah memfailkan saman dengan menamakan SPRM, kerajaan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Pengarah SPRM negeri ketika itu Mohamed Yussuf Akope dan lima pegawai lain iaitu Mohamad Fauzi Hussin, Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamed, L. Baskar, Mohd. Rosly Mohd. Saupi dan Kamal Awang Besar sebagai defendan.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM Jalan Cochrane pada 6 April 2011.

Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai kastam. 

Sumber : Utusan Online