MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) tidak akan membiarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terus diberikan reputasi buruk dan dilabel sebagai transit penyeludupan imigran.
Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali berkata, bagi memastikan perkara itu dapat dikawal, pihaknya sedia bekerjasama dengan sesiapa saja termasuk agensi penguat kuasa untuk membanteras aktiviti berkenaan.
Beliau berkata, reputasi sebagai transit penyeludupan imigran bukan reputasi yang baik untuk KLIA seperti yang pihaknya inginkan.
"Justeru, saya sendiri kena jaga orang saya juga. Saya tidak nafikan ada orang dalam yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan manusia atau imigran.
"Kita mahu tutup ruang-ruang kosong yang ada. Saya rasakan perkara ini berlaku disebabkan oleh orang dalam...tidak kiralah sesiapa pun sama ada pengawal keselamatan atau orang saya sendiri," katanya pada sidang media selepas menghadiri Festival Zapin Terbuka Belia Malaysia 2017 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Program berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi.
Badlisham berkata, usaha membanteras aktiviti penyeludupan imigran adalah tanggungjawab bersama dan walaupun MAHB tiada kuasa menangkap namun, mereka masing-masing boleh menyumbang dengan melaporkan setiap aktiviti dan individu yang meragukan yang berlaku di KLIA.
Dalam pada itu, Badlisham berkata, pihaknya sudah melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan dengan kerjasama Malaysia Airlines Bhd (MAB) dan beberapa pihak lain bagi meningkatkan kesedaran mengenai penyeludupan imigran terutama di KLIA.
Menurutnya, pihaknya juga akan memastikan setiap warga di MAHB dan KLIA dapat menjadi ‘mata dan telinga’ bagi melaporkan sebarang aktiviti penyeludupan imigran.
Selain itu, katanya, beliau juga menyambut baik tindakan penggiliran tugas dan anggota dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebagai satu usaha menangani dan mengawal aktiviti penyeludupan berkenaan.
Harian Metro sebelum ini mendedahkan berlaku aktiviti penyeludupan masuk migran Bangladesh di KLIA, Sepang menerusi Op Pintas KLIA yang dilancarkan Bahagian Anti Pemerdagangan dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) D7C Bukit Aman selepas risikan hampir tujuh bulan dilakukan bersama Skuad Khas HM.
Laporan eksklusif Harian Metro sejak 7 Disember lalu mendedahkan sindiket dikuasai warga Bangladesh memperoleh RM5.2 juta setahun, hasil aktiviti menyeludup rakan senegara melalui KLIA.
Sindiket terbabit dikatakan mengenakan bayaran antara RM15,000 dan RM20,000 setiap orang termasuk wang 'pelincir' kepada beberapa pihak berkuasa terutama anggota dan pegawai JIM serta pegawai Kedutaan Malaysia di Dhaka.
Setakat ini, 11 ahli sindiket termasuk empat warga tempatan ditahan bersama 33 warga Bangladesh yang berjaya diseludup di KLIA termasuk anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, kira-kira 40 peratus daripada 1,500 kakitangan JIM yang bertugas di KLIA sudah dan dalam perancangan untuk dipindahkan termasuk mereka yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan masuk migran Bangladesh.
source : - Metro Online