KUALA PILAH – “Bila tiap kali hujan lebat dan ribut, kami selalu kesejukan sebab bumbung bocor dan tak dapat tidur lena waktu malam,” kata penduduk Orang Asli Kampung Guntur, Batu Kikir, Pital Tunggal, 56.

Keadaan ini berlaku kerana rumah pusaka yang didiami bersama isterinya, Jamilah Nyor, 54, sudah usang kerana masih berlantaikan tanah, berdindingkan kulit daun terap, berbumbungkan daun nipah serta zink terpakai.

Kata Pital, rumah pusaka dari generasi ke generasi nenek moyangnya itu masih tidak berubah sehingga kini.

“Saya membesar di rumah ni dan kini dah berkahwin serta mempunyai lapan anak, lima daripadanya dah berkeluarga.

“Rumah ni dibina sekitar tahun 60-an lagi dan saya bukan dari golongan orang senang. Kerja pun hanya di kampung.

“Hendak bina sebuah rumah baru sememangnya kami tak mampu. Mahu atau tak, kami tetap menjadikan rumah ni sebagai pelindung siang dan malam,” katanya.

Menurutnya, rumah tersebut sering dibaiki setiap kali rosak dan reput, namun keadaannya masih tidak berubah.

“Strukturnya masih sama diperbuat daripada kayu hutan. Lantai juga tak berubah, masih tanah dan dialas menggunakan tikar getah ataupun tikar mengkuang.

“Dinding yang dibina menggunakan kulit kayu pokok terap hanya mampu bertahan hingga lima tahun dan selepas tu saya terpaksa cari dinding baru dalam hutan,” katanya.

Ujarnya, bila berlaku hujan lebih sejam, keadaan sekeliling rumahnya dinaiki air termasuk di dalam rumah.

“Tanah rumah ni pasir dan bila hujan, air masuk dalam rumah hingga terpaksa berada dalam keadaan basah. Bumbung rumah bocor terpaksa tadah guna baldi di merata tempat.

“Bila lantai tanah, risikonya adalah kehadiran binatang berbisa seperti lipan. Memang banyak kali lipan masuk dalam rumah, mujur belum ada yang kena gigit,” katanya.

Jelasnya, rumah tersebut tiada bekalan elektrik tetapi bekalan air ada menggunakan air bukit berhampiran.

“Anak-anak saya yang dah berkeluarga masih mendiami rumah seperti saya dan hanya seorang berjaya dapat bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Walaupun kehidupan asal kami memang tinggal di rumah seperti ni, tapi kami juga mahukan pembangunan baru dan kehidupan yang selesa,” katanya.

Pital sudah beberapa kali memohon bantuan PPRT menerusi Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), bagaimanapun belum menerima jawapan.

“Saya harap pihak berkaitan dapat bantu keluarga kami supaya dapat jalani kehidupan seperti orang lain,” katanya.

Sementara itu, Pegawai JHEOA daerah, Khairul Anuar Abu Khamis dihubungi menyatakan akan menyemak status pemohon dan akan memaklumkan dalam masa terdekat.

source  :  SINAR HARIAN

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.