JOHOR BAHRU - Dua anggota polis berpangkat koperal tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan memperoleh rasuah, Mac tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Iruwan Ismail, 36, dan Osman Jamaluddin, 37, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa meminta suapan sebanyak RM6,000 daripada Hendragunawan Murat sebagai dorongan melepaskannya yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26C Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 55, Lebuhraya Senai-Desaru sekitar jam 1.45 petang, 25 Mac tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Iruwan dan Osman didakwa memperoleh suapan RM2,000 daripada Hendragunawan Murat sebagai dorongan melepaskannya yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26C Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Bandar Seri Alam, di sini, kira-kira jam 7.05 petang, 25 Mac lalu.

Kedua- dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan RM10,000 bagi dua pertuduhan ke atas setiap tertuduh, selain 19 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Norsyarina Raizan manakala kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam mereka, Siti Nadia Yahya dan Nurain Kamardin.

source  : Sinar Online 

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.