SEBUAH kapal korek pasir yang beroperasi secara haram ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Sembilan/Melaka, Ahad lalu, berhampiran Pulau Upeh, Melaka.
Kapal korek pasir terbabit dikesan beroperasi secara haram di 1.4 batu nautika Tenggara Pulau Upeh, pada 2.50 petang.
Pengarah AAPM Negeri Sembilan/Melaka, Kapten Maritim Ahmad Faridi Ferdaus berkata, kegiatan penyangak pasir itu dikesan ketika bot ronda agensi terbabit melakukan rondaan.
"Pasukan terbabit melakukan rondaan di sepanjang perairan Selat Melaka dan memeriksa vesel korek pasir GT 9 dengan nombor pendaftaran (IMO 9832212) berada di Tenggara Pulau Upeh.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel terbabit menjalankan aktiviti membuang pasir dari vesel ke kawasan tambakan, malah mereka gagal mengemukakan dokumen berkaitan aktiviti lambakan pasir," katanya.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati 15 kru kapal semuanya warga China dan mereka ditahan selepas vesel terbabit gagal mempamer lesen permit dan melakukan kesalahan mengikut Akta Kastam 1967 dan MSO Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, sebelum diarahkan berlabuh di perairan Pulau Upeh.
Beliau berkata, semua lelaki yang ditahan berusia 35 hingga 65 tahun.
SOURCE : My Metro