KUCHING - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan lima anggota pangkat rendah yang dibebaskan dengan ikat jamin di Mahkamah Majistret di sini pagi ini ditahan semula di luar mahkamah untuk kesalahan kes lain.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata penahan dibuat oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching bagi membantu siasatan kes peras ugut yang berasingan berdasarkan laporan yang dibuat di Balai Polis Sekama di sini.
Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Dev berkata sebelum ini enam suspek berkenaan ditahan reman sejak 9 Ogos lalu berhubung dua laporan kes di bawah Seksyen 384 kerana melakukan peras ugut.
Katanya pada 9 Ogos lalu suspek yang berusia antara 25 tahun dan 53 tahun ditahan di rumah serta tempat kerja di Kuching, Padawan dan Lundu, dalam serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota D7, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.
Menurut Dev, semua suspek ditahan selepas dua ahli perniagaan berusia 44 tahun dan 65 tahun membuat laporan polis, masing-masing di Batu Kawa dan Sematan, mendakwa kumpulan pegawai dan anggota polis itu memeras wang daripada mereka.
“Hari ini mereka ditahan untuk kes peras ugut berasingan yang dibuat oleh pengadu yang berbeza di Balai Polis Sekama,†tambah Dev.
Katanya mereka akan dihadapkan ke mahkamah semula untuk memohon perintah tahanan reman.
source : Sinar Online