Penalti pasport hilang akan ditingkatkan

PUTRAJAYA, 29 Jun - Jabatan Imigresen bercadang mengenakan penalti antara RM200 dan RM1,000 bagi penggantian pasport Malaysia yang hilang akibat kecuaian pemilik yang mencatatkan 31,287 kes pada enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kerajaan sedang mempertimbang cadangan mengenakan penalti terhadap pemilik pasport yang kehilangan dokumen berkenaan, sama seperti bayaran yang dikenakan bagi permohonan penggantian kad pengenalan diri, ‘MyKad’ yang hilang.

Selama ini, Jabatan Imigresen tidak mengenakan penalti terhadap mereka yang kehilangan pasport.

“Peraturan perlu diubah dan cadangannya adalah jika hilang kali pertama dikenakan denda RM200, manakala hilang kali kedua denda RM500 dan bagi kehilangan kali ketiga dan seterus­nya ialah RM1,000.

“Ini bukan niat untuk menghukum tetapi untuk menjadikan masyarakat lebih bertanggungjawab terhadap pasport yang dimiliki,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Januari lepas, Jabatan Imigresen mengemukakan cadangan tersebut kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri, dan secara dasarnya sudah dipersetujui.

Mustafar berkata, sikap cuai rakyat negara ini antara faktor jumlah pasport hilang agak tinggi walaupun ia merupakan barang berharga yang menghendaki pemiliknya menjaga dokumen itu dengan baik.

“Kes kehilangan pasport Malaysia ini dilihat mudah berlaku tak kira di dalam atau luar negara. Kehilangan disebabkan kecurian masih boleh diterima tetapi kalau asyik hilang, ini tidak elok," katanya sambil menambah ada individu yang melaporkan kehilangan pasport sehingga empat kali.

Berdasarkan statistik Jabatan Imigresen, sebanyak 31,287 pasport Malaysia dilaporkan hilang sejak awal tahun ini sehingga 2 Jun lepas, dengan 22,475 daripadanya atas alasan 'tidak ingat di mana simpan' manakala 2,858 pula dikatakan hilang semasa pindah rumah.

Antara sebab kehilangan pasport ialah tidak ingat tempat pasport disimpan, tertinggal dalam kenderaan awam, tercicir daripada beg atau poket, dicuri atau dirompak, hilang semasa kebakaran atau berpindah rumah dan hilang di­sebabkan bencana alam, katanya.

Mustafar berkata, berdasarkan statistik terbaru itu, Johor merekodkan jumlah kehilangan tertinggi dengan 5,734 pasport, diikuti Kuala Lumpur (4,399) dan Selangor dengan 3,409 kes.

“Bagi luar negara, jumlah ter­tinggi adalah di Australia iaitu 43 pasport, diikuti Singapura (41), Hong Kong (11) dan 10 di Perancis, kebanyakannya akibat rompakan atau kecurian atau tercicir daripada poket dan sebagainya," katanya.

Beliau menggesa pemegang pasport supaya lebih bertanggungjawab dengan tidak meletakkan dokumen itu di merata tempat dan membuat permohonan pasport baharu dengan alasan ia telah hilang.

Jelasnya, pasport yang hilang dan dibatalkan namun ditemui semula tidak boleh digunakan bagi mengelak ia disalah guna.

Pasport Malaysia, katanya, merupakan antara yang terbaik di dunia dan ini sekali gus me­ngurangkan cubaan memalsukan dokumen penting itu.

Dalam pada itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) me­ngenakan penalti RM100 bagi kehilangan kali pertama MyKad, manakala kehilangan kali ke­dua RM300 dan bagi kehilangan kali ketiga dan seterusnya ialah RM1,000. – BERNAMA

Sumber : Utusan Online

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.