SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) telah mengadakan kerjasama antara kedua-dua pihak untuk memerangi gejala rasuah.

Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md Sam berkata, sasaran pihaknya adalah tertumpu kepada memerangi salah guna kuasa serta salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota agensi-agensi penguatkuasaan khususnya 21 agensi di bawah seliaan EAIC.

"Hasil perbincangan tersebut, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mewujudkan sebuah Jawatankuasa Bersama yang memberi tumpuan kepada perkongsian maklumat, kepakaran, teknologi dan kajian masing-masing sebagai medium jalinan kerjasama strategik," katanya petik kenyataan SPRM.

Katanya lagi, selain itu kedua-dua pihak juga telah menyatakan kesediaan untuk mengadakan operasi bersama pada masa akan datang agar isu-isu yang melibatkan bidang kuasa masing-masing akan dapat ditangani secara lebih berkesan dan menyeluruh.

Sementara itu, menurut SPRM, kerjasama ini juga sekali gus mampu memberi peluang kepada pihaknya  untuk merealisasikan matlamat  bagi membersihkan perkhidmatan awam daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam tempoh tiga tahun iaitu menjelang tahun 2020.

"SPRM dan EAIC berharap inisiatif kerjasama ini akan menghantar mesej yang jelas kepada masyarakat bahawa kedua-dua badan ini benar-benar serius dalam memerangi dan melumpuhkan jenayah rasuah dan salah guna kuasa khususnya dalam kalangan pegawai dan anggota penguat kuasa.

Terdahulu satu pertemuan diadakan diantara Yaacob dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad.

Pertemuan bersempena lawatan kerja EAIC ke SPRM itu diadakan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini, semalam.

Sumber : Sinar Harian Online

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.