Johor Bahru: Sultan Ibrahim Iskandar sedia memberikan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung orang tengah yang cuba merasuah baginda untuk mendapatkan pingat.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook Sultan Johor, Baginda bertitah menerima tawaran RM2 juta bagi mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk gelaran 'Tan Sri' daripada Yang di-Pertuan Agong.
"Saya mahu SPRM datang menghadap saya segera supaya perkara ini dapat disiasat.
"Ini Johor, kami ada harga diri. Anda tidak boleh beli anugerah dan gelaran dengan wang ringgit," titahnya.
Dalam temu bual secara ekslusif bersama wakil agensi Media Prima, baru-baru ini, Sultan Ibrahim mendedahkan terdapat ejen berjumpa baginda berhubung perkara berkenaan.
"Ejen yang datang jumpa saya katakan saya ada kuota untuk jual Tan Sri, nak bagi saya RM2 juta untuk satu Tan Sri. Saya kata pada ejen... saya tak nak bagi... saya kata pergi berambus.
"Tu bukan periuk nasi saya jual darjah. Di negeri lain bukan hal saya. Saya tak masuk campur, itu bukan hak saya untuk komen pun.
“Negeri lain terpulang kepada negeri masing-masing bukan hal saya. Saya tengok Johor sahaja," titah baginda.
Resource: Harian Metro