Polis memohon untuk merakamkan kenyataan daripada seorang pegawai kanan di kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes pembunuhan abang presiden Korea Utara, Kim Jong-nam.

Walau bagaimanapun, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar enggan mengesahkan jika pegawai itu, yang adalah setiausaha kedua di kedutaan berkenaan, adalah seorang suspek.

Ditanya wartawan sama ada pegawai berkenaan adalah suspek, beliau sekadar berkata: "Kami akan panggil dia dahulu."

Kim Jong Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, dibunuh minggu lalu di negara ini ketika bersiap sedia untuk menaiki penerbangan ke Macau.

Khalid pada sidang media hari ini berkata polis "amat yakin" empat lagi suspek yang melarikan diri dari Malaysia pada 13 Februari lalu, hari serangan itu berlaku, telah tiba di ibu negara Korea Utara Pyongyang.

Selain pegawai kanan di kedutaan Korea Utara itu, seorang lagi yang disedang dicari oleh polis dikatakan mempunyai kaitan dengan syarikat penerbangan Korea Utara.

“Kedua-dua warga Korea Utara itu disyaki masih berada di negara ini dan kami telah meminta mereka tampil untuk membantu siasatan.

“Sekiranya mereka enggan, waran tangkap akan dikeluarkan,” katanya.

Menurut Khalid, pihaknya turut memohon kerjasama pihak berkuasa Korea Utara untuk menyerahkan keempat-empat suspek kes sama yang dipercayai telah pulang semula ke Pyongyang itu bagi proses siasatan.

“Pihak berkuasa Korea Utara perlu memberi kerjasama dan membenarkan kita menjalankan soal siasat terhadap kesemua suspek supaya siasatan kes ini dapat dilengkapkan,” katanya.

Khalid turut memaklumkan, pihaknya menolak tawaran Korea Utara untuk menjalankan siasatan bersama kerana kes itu di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 8 pagi 13 Februari lalu untuk menunggu penerbangan ke Macau, yang dijadualkan sejam kemudian.

Bagaimanapun secara tiba-tiba, datang wanita menekup mukanya dengan kain yang dipercayai mengandungi racun.

Lelaki itu kemudian meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan KLIA2 dan dihantar ke Hospital Putrajaya, tetapi mati ketika dalam perjalanan.

Jong-nam tiba di Malaysia pada 6 Februari lalu dengan pasport atas nama Kim Chol.

Sumber : Malaysiakini

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.