10 Anggota Polis Menyamun Ditahan

SEPULUH anggota polis ditahan selepas dipercayai melakukan samun ketika menjalankan pemeriksaan ke atas warga asing dalam operasi di Air Panas, Setapak, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 8.30 malam, sekumpulan anggota polis terbabit yang memakai ‘vest’ polis dilaporkan memeriksa beberapa unit kediaman yang disyaki didiami oleh warga asing di kawasan itu.

Semasa pemeriksaan itu, salah seorang penghuni sebuah kediaman yang juga buruh binaan, 62, bersama isterinya diperiksa lalu menunjukkan kad pengenalan diri dan pasport milik wanita terbabit.

Selepas berpuas hati, anggota terbabit menjalankan pemeriksaan ke rumah jiran buruh binaan berkenaan sebelum menahan seorang lelaki dan wanita warga Indonesia didapati tidak memiliki dokumen.

Pada masa sama, salah seorang penghuni meminta bantuan buruh binaan terbabit untuk membebaskan lelaki dan wanita itu sebelum mereka berunding untuk membuat bayaran sebanyak RM2,000.

Buruh binaan itu kembali ke rumahnya untuk mengambil wang dalam seluarnya yang turut mengandungi barang kemas.

Dia kemudian mengambil wang tunai RM2,900 dalam almari lalu menyimpannya dalam seluar sebelum meletakkan seluar itu di atas katil.

Lelaki itu kemudian kembali ke rumah jirannya untuk menyerahkan wang RM2,000 seperti dijanjikan sebelum anggota polis yang menaiki sebuah van putih mempunyai logo polis dan sebuah lori berwarna biru gelap beredar.

Sekembalinya ke rumah, lelaki itu mendapati wang tunai RM2,900, 10 cincin emas, dua utas rantai emas, empat gelang emas dan satu anting-anting dalam seluarnya, hilang.

Berikutan itu, lelaki terbabit kemudian membuat laporan di Balai Polis Setapak untuk tindakan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan penahanan 10 anggota polis terbabit untuk membantu siasatan.

“Kita sudah menahan semua anggota yang disyaki terbabit dalam kes samun itu dan tindakan sudah dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.

Sumber :   Harian Metro

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.