KUALA LUMPUR, 3 Dis -- Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang, Ramkarpal Singh akan mencadangkan usul Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata usul itu akan dilakukan dengan penambahan 13 pindaan baharu berbanding 24 pindaan sebelum akta itu dirujuk ke jawatankuasa berkenaan. “Esok (Selasa), Ramkarpal Singh akan bawa usul itu ke persidangan Dewan Rakyat dan sekiranya diterima oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, maka usul laporan itu akan dibuka untuk perbahasan,†katanya kepada pemberita di lobi Parlimen. Justeru, beliau berharap lebih ramai ahli Parlimen akan mengambil peluang untuk membahaskan usul itu bagi memastikan pandangan rakyat dibawa bersama. Pada Oktober lepas, RUU IPCMC 2019 dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk dibincang dengan lebih teliti sebelum dibawa ke Dewan Rakyat. Perkara itu diputuskan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof sebaik diusulkan oleh Liew yang menjelaskan bahawa undang-undang itu tidak digubal secara tergesa-gesa bagi membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghargai setiap pandangan yang diberikan oleh ahli Parlimen. RUU IPCMC 2019 dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 18 Julai, dan ia bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi meningkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM). IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis. -- BERNAMA
Ramkarpal bawa usul bentang laporan Jawatankuasa Pilihan Khas IPCMC
- Details
- 991