Kira-kira 10,00 jemaah menunaikan solat Subuh berjemaah sempena Program Ihya dan Erat Ramadan bersama #GengSubuhMacamJumaat di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
Kira-kira 10,00 jemaah menunaikan solat Subuh berjemaah sempena Program Ihya dan Erat Ramadan bersama #GengSubuhMacamJumaat di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Program Ihya' dan Erat Ramadan Bersama #GengSubuhMacamJumaat yang dianjurkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mampu memupuk sikap integriti dan amanah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata adalah penting bagi anggota penguat kuasa di negara ini untuk mendekatkan diri dengan tuhan.

"Jika agensi penguat kuasa boleh menjalankan tanggungjawab dengan amanah, Insya-Allah tidak timbul isu ketirisan dan salah guna kuasa," katanya pada Program Ihya' dan Erat Ramadan Bersama #GengSubuhMacamJumaat di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Program seawal 4 pagi dimulakan dengan qiamullail, diikuti jamuan sahur dan solat Subuh berjemaah yang dianjurkan bersama EAIC, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama pelopor kempen 'GengSubuhMacam Jumaat' iaitu artis Alif Satar.

Pada majlis itu, Mohd Na'im turut melancarkan tabung Geng Sedekah Ramadan yang dilaksanakan oleh JAWI bagi membantu orang ramai bersedekah ketika bulan Ramadan.

Hadir sama Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail; Pesuruhjaya EAIC, Datuk Seri Dr Yusof Ismail dan Alif Satar.

Mengulas mengenai sambutan program hari ini, Yusof berkata lebih 10,000 jemaah memenuhi ruang solat utama Masjid Wilayah Persekutuan.

Katanya, EAIC menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan integriti selain mengalakkan umat Islam beribadat ketika Ramadan.

"Kita harap banyak lagi program seumpama dapat dilaksanakan di pelbagai platform secara berterusan... apabila kita dekat dengan Allah, susah untuk kita tergelincir dari landasan," katanya.

Antara pengisian program hari ini adalah tazkirah mengenai integriti disampaikan Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim dan pertandingan hafazan al-Quran yang menyaksikan Suhail Jamaludin dinobatkan sebagai juara.

Lebih menarik, seramai lima jemaah bertuah turut membawa pulang satu unit Gold Wafer Coin Habib Jewels setiap seorang selepas memenangi hadiah cabutan bertuah yang disumbangkan Bank Islam Malaysia Bhd.

- BERNAMA

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.