A view of the sea

Kuala Lumpur: Bekas ketua unit di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sik, Kedah didapati melindungi individu yang disahkan positif dadah berdasarkan siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

EAIC dalam kenyataan berkata, kesimpulan itu diperoleh hasil siasatan pihaknya susulan aduan yang diterima membabitkan salah seorang ketua unit agensi berkenaan.

"Ketua unit berkenaan dikatakan melindungi individu yang disahkan positif dadah dan gagal mengemas kini Buku Rekod Penghantaran Sampel Urin Orang Yang Disiasat (OYDS).

"Siasatan sepenuhnya sudah dijalankan ke atas aduan ini mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

"Ketua Unit berkenaan gagal mengendalikan keputusan saringan air kencing OYDS yang disahkan positif dadah jenis methamphetamine/amphetamine," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama EAIC memaklumkan bahawa kegagalan ketua unit terbabit mengendalikan keputusan ujian air kencing berkenaan mengakibatkan kelewatan selama satu tahun enam bulan sebelum pihak majikan OYDS menerima hasil ujian terbabit.

Katanya, ketua unit berkenaan gagal memastikan Buku Rekod Penghantaran Sampel Urin OYDS berada dalam keadaan teratur sepanjang bertugas di AADK Sik, Kedah.

Susulan itu, EAIC mengesyorkan hukuman yang patut dikenakan ke atas pegawai terbabit iaitu menangguhkan pergerakan gaji selama enam bulan terhadap bekas ketua unit berkenaan.

Katanya, hukuman kerana cuai dan tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan satu tindakan yang adil tidak dapat diambil terhadap OYDS oleh majikannya.

"Dua orang Pembantu Antidadah di AADK Sik, Kedah yang ditugaskan untuk menghantar dan mengambil sampel air kencing OYDS juga didapati gagal mengemas kini Buku Rekod Penghantaran Sampel Urin OYDS dengan teratur.

"Amaran terhadap dua orang Pembantu Antidadah AADK Sik, Kedah kerana gagal mengemas kini Buku Rekod Penghantaran Sampel Air Kencing AADK Sik, Kedah dengan sewajarnya," katanya.

 

Sumber : Harian Metro

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.