KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati seorang bekas ketua unit di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sik, Kedah, terbabit salah laku dalam pengendalian kes dadah bawah agensi itu.

EAIC dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima aduan yang mendakwa bekas ketua unit itu melindungi individu disahkan positif dadah, dan gagal mengemas kini Buku Rekod Penghantaran Sampel Urin Orang Yang Disiasat (OYDS).

Susulan itu, katanya, siasatan penuh telah dijalankan mengikut Subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).

"Selepas selesai membuat penyiasatan, EAIC mendapati salah laku berupa kesalahan tatatertib telah dilakukan, iaitu ketua unit itu gagal mengendalikan keputusan saringan air kencing OYDS yang disahkan positif dadah jenis methamphetamine/amphetamine.

"Ia menyebabkan berlaku kelengahan selama hampir satu tahun enam bulan untuk menyerahkan keputusan saringan air kencing itu kepada pihak majikan OYDS.

"Ketua unit itu juga gagal memastikan Buku Rekod Penghantaran Sampel Urin OYDS berada dalam keadaan teratur sepanjang beliau bertugas di AADK Sik," katanya.

Selain itu, menurut kenyataan berkenaan, dua pembantu antidadah di AADK Sik yang ditugaskan untuk menghantar dan mengambil sampel air kencing OYDS, didapati gagal mengemas kini Buku Rekod Penghantaran Sampel Urin OYDS dengan teratur.

Justeru, katanya, EAIC melalui Mesyuarat Suruhanjaya Bil 8/2024 bertarikh 10 September lalu, mengesyorkan hukuman yang patut dikenakan ke atas pegawai terbabit.

Menurutnya, syor berkenaan ialah menangguhkan pergerakan gaji selama enam bulan terhadap ketua unit itu kerana cuai dan tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan satu tindakan yang adil tidak dapat diambil terhadap OYDS oleh majikannya.

Selain itu, katanya, memberi amaran kepada ketua unit berkenaan kerana gagal memastikan Buku Rekod Penghantaran Sampel Urin OYDS AADK Sik berada dalam keadaan teratur.

Syor seterusnya ialah memberi amaran terhadap dua pembantu antidadah AADK Sik kerana gagal mengemas kini Buku Rekod Penghantaran Sampel Air Kencing AADK Sik dengan sewajarnya.

"Perkara itu telah dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) AADK untuk tindakan lanjut," katanya.

 

Sumber : Berita Harian

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.