POLIS berjaya memberkas tujuh lagi lelaki warga Rohingya yang dikenalpasti antara 131 PATI yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor, Februari lalu. FOTO Arkib NSTP

Putrajaya: Kekerasan dan penderaan oleh beberapa pegawai Jabatan Imigresen (JIM) antara hasil siasatan ditemui Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung insiden 131 tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor (DISB) pada 1 Februari lalu.

Dalam kenyataan hari ini, EAIC memaklumkan, kekerasan dan penderaan terhadap tahanan etnik Rohingya bermula sejak 2020 hingga 2021 ketika mereka ditempatkan di Kem Wawasan Langkawi sebelum dipindahkan ke beberapa depot imigresen, termasuk DISB.

"Beberapa pegawai JIM di DISB, termasuk dua orang pegawai yang pernah bertugas di Kem Wawasan Langkawi sebelum ditukarkan ke DISB, didapati melakukan kekerasan yang melampau serta penderaan fizikal dan mental terhadap tahanan etnik Rohingya sehingga mengakibatkan kecederaan kepada mereka.

"Sehubungan itu, EAIC yang menjalankan siasatan berdasarkan aduan diterima dan mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700), memutuskan untuk merujuk syor hukuman terhadap pegawai terbabit kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) JIM," katanya.

Menurut kenyataan itu, cadangan penambahbaikan infrastruktur depot tahanan juga akan dikemukakan kepada Ketua Pengarah JIM.

"EAIC sudah membuat laporan polis mengenai isu kekerasan dan penderaan terhadap tahanan etnik Rohingya di DISB dan Kem Wawasan Langkawi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Menerusi kenyataan itu, EAIC turut menyenaraikan empat punca insiden tahanan melarikan diri dari depot berkenaan antaranya terdapat unsur kekerasan melampau serta penderaan fizikal dan mental yang dialami oleh tahanan di DISB.

Malah, pegawai dari JIM dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas di DISB didapati tidak peka terhadap keadaan sekeliling sebelum insiden melarikan diri berlaku.

Selain itu, bangunan DISB, yang merupakan bekas Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), mempunyai kelemahan infrastruktur yang tidak memenuhi standard diperlukan untuk berfungsi sebagai depot tahanan.

Pegawai kanan dan penyelia di DISB gagal memantau dan bertindak untuk mengawal keadaan semasa insiden terbabit berlaku.

 

Sumber : Harian Metro

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.