KOTA SAMARAHAN, 9 Nov: Kes salah laku dikategorikan besar dan menjejaskan kepentingan awam yang dilakukan agensi penguat kuasa kerajaan akan disiasat Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
Pengerusi EAIC Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, menerusi Akta 700, EAIC mempunyai kuasa untuk menubuhkan pasukan itu dibantu beberapa agensi lain termasuk agensi yang mempunyai kepakaran dalam memastikan ketelusan terhadap hasil siasatan salah lakudijalankan.
Menurutnya, agensi atau penguat kuasa yang disiasat oleh EAIC tidak perlu takut
sekiranya tidak bersalah kerana suruhanjaya itu berperanan mengembalikan kepercayaan orang ramai kepada agensi penguat kuasa terbabit.
“Keberadaan EAIC ini adalah untuk memastikan mereka (penguat kuasa) menjalankan tugas dengan lebih beramanah dan berintegriti dan juga untuk melindungi mereka (penguat kuasa)
“Jangan menganggap bahawa (kehadiran) EAIC ini akan menyusahkan mereka, (kerana) kita sebenarnya (hadir) untuk melindungi mereka (penguatkuasa) dari tohmahan dengan melakukan siasatan ke atas semua aduan yang diterima dari masyarakat,” katanya.
Tan Sri Dr. Ismail berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Program Encouraging Responsibility Accountability Trustwothiness (ERAT), Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bersama Penguatkuasa, Mahasiswa dan Masyarakat yang berlangsung di Dewan Pertubuhan Peladang, Kota Samarahan pada Sabtu
EAIC adalah Badan Berkanun Persekutuan yang ditubuhkan melalui Akta Parlimen di bawah seksyen 3 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) dan diwartakan pada 3 September 2009.
Suruhanjaya tersebut berperanan dalam meningkatkan integriti dikalangan agensi dan penguat kuasa selain bertujuan untuk memastikan keyakinan orang ramai terhadap ketelusan agensi penguatkuasaan di Malaysia.
Untuk rekod sehingga 31 Oktober tahun ini, EAIC ini menerima 330 aduan pelbagai dengan 15 adalah dari Sarawak.
Sementara itu, Dr. Ismail percaya penganjuran program ERAT dilihat mampu memperkenalkan EAIC dan peranannya kepada masyarakat sekali gus menjadi platform untuk mendengar aduan dan mendapat maklumbalas dikalangan masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang hadir menyempurnakan majlis perasmian.
Hadir sama Pegawai Residen Bahagian Samarahan, Mohammad Irwan Bahari Bujang.
Sumber - TVS