KOTA SAMARAHAN: Pasukan petugas khas diwujudkan bagi menangani isu-isu serius melibatkan salah laku dan integriti dengan lebih berkesan dalam kalangan penjawat awam di negara ini.

 

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, ia ditubuhkan bagi menghapuskan karenah birokrasi dalam kalangan penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan.

“Pasukan petugas ini diwujudkan di bawah Akta 700 EAIC iaitu menyiasat salah laku penjawat awam yang mempunyai skala yang besar dan ahli-ahli petugas terdiri daripada pelbagai agensi termasuk kepakaran daripada pihak swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Erat EAIC bersama Penguat Kuasa; Mahasiswa dan Masyarakat di Dewan Pertubuhan Peladang di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang.

Tambah Dr Ismail, pasukan itu ditubuhkan bagi memastikan setiap aduan berkaitan ditangani secara telus termasuk kesesuaian tindakan perundangan yang bakal dikenakan kepada pihak yang terlibat.

“Pasukan tertakluk terhadap kes yang kita terima. Jika kes itu melibatkan penjawat awam dalam satu agensi, pasukan petugas khas akan dibentuk dan ahli-ahli pasukan tidak akan terdiri daripada agensi yang terlibat dalam kes-kes berkenaan.

“Kita akan ambil penjawat-penjawat awam daripada agensi-agensi yang lain ataupun kepakaran daripada pihak swasta untuk kita jadikan sebagai anggota dalam pasukan itu,” ujarnya.

Terdahulu, beliau berkata, pasukan itu melibatkan pelbagai agensi seperti EAIC, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), PDRM, dan lain-lain, membolehkan siasatan bersepadu terhadap anggota penguat kuasa.

 

Siasatan ini dilakukan secara telus, menyeluruh, dan terbuka, mengelakkan pembaziran masa serta membolehkan tindakan tegas diambil untuk menghentikan ketirisan dan salah laku, jelasnya.

 

Sumber : Suara Sarawak

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.