Kuala Lumpur: Penguat kuasa undang-undang di sempadan seharusnya berani melaksanakan pengawalan dengan lebih cekap dan teratur.
Pengerusi Suruhanjaya Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, ketegasan dalam melaksanakan penguatkuasaan tanpa kompromi adalah tindakan lebih penting.
"Kita melihat isu di sempadan ini (Sungai Golok-Rantau Panjang) adalah isu tradisional, ia sudah wujud sebelum merdeka lagi, terutama mengenai kemudahan yang ada di sempadan.
"Seingat saya sudah tahun 1980-an lagi kita sudah memikirkan mengenai keperluan untuk membuat tembok di kawasan sempadan.
"Tetapi disebabkan oleh kos yang tinggi dan mungkin perkara ini agak sukar untuk dilaksanakan serentak, mungkin keutamaan kita kena buat (bina tembok).
"Tapi dalam masa yang sama kita (kerajaan) meningkatkan peruntukan kepada penguat kuasa dan sebagainya, perkara ini hendaklah dibuat selaras dengan keperluan semasa," katanya kepada NSTP ketika ditemui di sambutan Program Ulang Tahun 2 Tahun Kerajaan Madani (2TM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu hampir 500 murid dan pelajar sekolah menggunakan pangkalan haram dari wilayah Thailand itu ke Rantau Panjang, Kelantan setiap hari.
Mengulas lanjut isu di sempadan Sungai Golok dan Rantau Panjang, Ismail tidak menafikan isu antara dua wilayah itu sudah lama berlaku berpunca perkongsian budaya sama antara penduduk di wilayah Thailand-Malaysia itu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan ia tidak bermaksud negara harus mengetepikan kepentingan keselamatan dan kedaulatan.
"Itu kita perlu laksanakan dengan tegas. Tidak ada lagi kompromi.
"Untuk apa membiarkan sempadan kita bolos semudah-mudahnya seperti mana yang berlaku pada hari ini," katanya.
Ditanya sama ada EAIC akan memanggil pihak berkuasa yang bertugas di sempadan terbabit, Ismail berkata pihaknya akan melihat keperluan terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.
"Kita tengok keperluan dulu," katanya ringkas.
Sumber : Harian Metro