KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menemui banyak kes baharu membabitkan isu integriti seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa sepanjang dua tahun pentadbiran Kerajaan MADANI.
Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr Ismail Bakar, berkata ia susulan langkah tegas dan agresif dilakukan pihaknya seiring ketegasan pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi tindakan itu, beliau akui ia sememangnya memberi kesan ketara apabila kes integriti direkodkan pihaknya menunjukkan peningkatan.
Beliau mengulas trend kes rasuah sepanjang dua tahun pentadbiran Kerajaan MADANI.
"Pada pendapat saya, tidak boleh mengatakan kes rasuah atau kes integriti meningkat. Tapi mungkin disebabkan sekarang ini kita agresif untuk menangani isu rasuah seperti mana yang dijanjikan oleh kerajaan bahawa kita akan menghapuskan rasuah di seluruh peringkat.
"Jadi kita melihat usaha berterusan ini menyebabkan kes berkenaan meningkat. Jadi kita banyak menemukan kes baharu seperti isu integriti.
"Kadang-kadang isu integriti ini tidak semestinya melibatkan isu rasuah tapi menyalah guna kuasa pun satu amalan integriti yang tidak baik," katanya kepada NSTP ketika ditemui di Program 2 Tahun Kerajaan MADANI di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Mengenai penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dikatakan dapat mengurangkan rasuah seperti diakui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman, Ismail berpandangan teknologi berkenaan dapat membantu melakukan pelan prediktif.
Beliau memberi contoh AI berupaya melihat sejauh mana persepsi rakyat atau pun orang awam melihat isu rasuah.
"Kalau sebut 'predictive' AI, maknanya kita kumpulkan maklumat daripada orang awam tentang bagaimana persepsi mereka terhadap rasuah. Bermakna kita kena menggunakan perancangan yang lebih jitu lagi untuk meningkatkan kesedaran rakyat.
"Kalau dulu, untuk dapatkan maklumat mengenai kesedaran orang awam terhadap rasuah... antara kita terpaksa menggunakan tinjauan dan menjalankan kajian di lapangan secara manual.
"Kita kini masih dalam peringkat perancanganlah (untuk guna AI) dalam membuat sesuatu keputusan. Tapi bukan kata untuk menggunakan AI semata-mata kerana faktor manusia pun masih boleh digunakan dan perlu digunakan," katanya.
Sumber : Berita Harian