
KUALA LUMPUR, 26 Mei -Aspek integriti, tadbir urus dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam perlu terus diperkukuh dalam usaha mendepani cabaran ekonomi serta krisis global pada masa ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menasihatkan penjawat awam supaya menghayati nilai amanah dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas selaras agenda reformasi perkhidmatan awam dan prinsip Malaysia MADANI.
Menurut beliau, isu salah laku dan integriti juga perlu dijadikan agenda tetap dalam mesyuarat pengurusan kementerian serta jabatan bagi memastikan pemantauan lebih tegas dapat dilaksanakan.
“Pemantauan perlu dilaksanakan dengan lebih tegas, dan ketua jabatan hendaklah memastikan pemantauan tersebut dilakukan secara berterusan bagi menjamin tatakelola ini dilaksanakan, dihayati serta menjadi amalan dalam pelaksanaan tugas harian.
“Selain itu, isu berkaitan salah laku integriti wajib dijadikan agenda tetap dalam mesyuarat pengurusan bulanan kementerian atau jabatan,” katanya ketika merasmikan Majlis Apresiasi ERAT anjuran Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) di sini, malam tadi.
Menyentuh mengenai dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam sejak 15 April lalu beliau berkata, pelaksanaannya berjaya membantu penjimatan penggunaan petrol dan subsidi kerajaan, selain mengurangkan tekanan kos susulan peningkatan harga bahan api di peringkat global.
“Bekerja Dari Rumah (BDR) telah dilaksanakan bermula 15 April, dan sehingga hari ini, penjawat awam yang menjalani BDR telah berjaya menjimatkan sebanyak 2.14 juta liter bahan api dengan nilai subsidi berjumlah RM4.2 juta, melibatkan seramai 357,000 penjawat awam setakat ini,” katanya lagi.
SUMBER : Berita RTM