MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN BIL. 2 TAHUN 2024

SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN (EAIC) DAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 1445H

 

25 April 2024

Dewan Serbaguna, Menara Usahawan, Putrajaya

 

Bismillahirahhmanirrahim,

Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh

dan Salam Sejahtera,

Yang Dihormati barisan Pesuruhjaya,

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC),

Yang Berusaha Tuan Mohd Asnawi Abu Hanipah,

Pengarah Bahagian Operasi EAIC,

Merangkap pemangku Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, dan

Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana atas limpah kurnia dan izin-Nya jua dapat kita bersama-sama hadir dan berkumpul pada pagi ini, bersempena Majlis Perhimpunan Bulanan Bil. 2 Tahun 2024 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1445H. Terima kasih kepada seluruh warga kerja EAIC yang telah berusaha bersungguh-sungguh menjayakan majlis pada hari ini.

  1. Sambutan Aidilfitri dan lain-lain perayaan di Malaysia adalah begitu sinonim dengan suasana di mana kita semua bersama ahli keluarga, saudara mara, rakan taulan dan masyarakat setempat berkumpul, kunjung mengunjung dan mengeratkan silaturahim. Suasana ini juga amat bersesuaian dengan kita di EAIC kerana ini merupakan kali pertama saya dan barisan Pesuruhjaya bersua muka dan berkumpul dengan semua warga kerja EAIC setelah diperkenankan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa pada 1 Februari 2024 yang lalu. Besar harapan saya agar majlis ini bukan yang pertama dan terakhir, dan semoga jalinan kerjasama yang baik akan terbina antara barisan Pesuruhjaya bersama dengan warga kerja EAIC, untuk memartabatkan integriti dalam kalangan penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan.
  1. Bagaimanapun, sedang kita keriangan meraikan Aidilfitri dalam suasana aman dan meriah, saudara-saudara kita di Palestin, menyambut Syawal dengan menyeka air mata. Sama-samalah kita panjatkan doa agar pergolakan ini akan segera berakhir. Raikanlah Syawal ini, tapi ingatlah untuk sentiasa bersederhana dalam apa jua yang kita lakukan.

Sidang hadirin sekalian,

  1. Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan kepada seluruh umat Islam setelah menahan lapar dan dahaga, menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Kejayaan ini tidak akan dapat dicapai tanpa penerapan integriti dalam diri. Tiada siapa boleh memaksa kita menjalani ibadah ini, kecuali kepercayaan kepada agama dan nilai integriti setiap individu.
  2. Orang yang berintegriti mengikut prinsip moral dan etika dalam semua aspek kehidupan, sama ada peribadinya atau kerjayanya. Integriti itu lebih kepada kualiti daripada kemahiran, dan ia boleh dibangunkan dari semasa ke semasa. Dan itulah tugas kita di EAIC, sebagai badan pengawasan integriti yang dihasratkan oleh Kerajaan untuk menyemai budaya integriti di kalangan pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan seliaan. Walaupun pada masa ini masih terdapat kepincangan serta isu integriti dalam kalangan agensi penguatkuasaan seliaan, tetapi dengan usaha dan pengawasan berterusan, tidak mustahil integriti menjadi sebahagian daripada budaya.

Saudara dan saudari,

  1. Seperti yang semua sedia maklum, EAIC telah mencapai tahun ke 13 penubuhannya. Dalam memastikan EAIC kekal relevan dan dapat melaksanakan fungsi dengan efektif, pindaan kepada Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] perlu dilaksanakan dengan segera.
  1. Pindaan Akta 700 hendaklah memberi ‘taring’ kepada EAIC agar kewujudan EAIC tidak dipandang sepi oleh agensi penguatkuasaan, terutamanya terhadap syor hukuman yang disarankan dalam kes salah laku. Sekiranya syor hukuman EAIC tidak dilaksanakan, peranan EAIC adalah ibarat seperti “ada tidak menambah, tiada tidak mengurang”.
  1. Sebarang kegagalan agensi penguatkuasaan mengikut syor hukuman EAIC akan memberi impliksi bukan sahaja kepada pelaku, tetapi keseluruhan agensi penguatkuasaan dan Kementerian Pengawal perlu bertanggungjawab secara kolektif. Collective resposibility. Collective responsibility ini boleh membanteras masalah pegawai yang tidak berintegriti.
  1. Dalam bergerak ke hadapan, EAIC telah membuat semakan semula terhadap agensi yang berpotensi untuk disenaraikan di bawah Jadual Akta 700. Surat cadangan penambahan agensi ini juga telah dipanjangkan kepada YAB Perdana Menteri pada 17 April 2024 untuk pertimbangan.
  1. Selain itu, untuk memastikan kawalan integriti yang menyeluruh ke atas agensi penguatkuasaan seliaan, EAIC juga bercadang untuk membuat penetapan agar Unit Integriti setiap agensi penguatkuasaan seliaan melaporkan semua status aduan dan siasatan tatatertib yang diterima kepada EAIC. Pelaporan ini akan memudahkan penyemakan rekod sekiranya aduan yang sama diterima oleh EAIC.
  1. Menerusi penetapan ini juga, setiap Unit Integriti agensi penguatkuasaan seliaan perlu melaporkan aktiviti pembudayaan integriti serta usaha bagi mengurangkan isu salah laku yang dilaksanakan di peringkat Jabatan. Pelaporan ini dicadangkan dibuat melalui Mesyuarat Koordinasi yang dijadualkan diadakan pada setiap 6 bulan dan dihadiri oleh semua Ketua Jabatan dan Ketua Unit Integriti. Ini adalah merupakan pemantauan secara langsung oleh EAIC terhadap agensi penguatkuasaan seliaan berkenaan integriti dan salah laku, selaras dengan peranan EAIC sebagai badan pengawasan integriti yang dihasratkan Kerajaan.

Warga EAIC yang dihormati sekalian,

  1. Saya percaya semua sedia maklum bahawa Kerajaan kini dalam cadangan untuk menubuhkan Ombudsman Malaysia. Walaupun sehingga kini masih tiada hala tuju yang jelas berkenaan status penubuhan Ombudsman Malaysia, namun EAIC tidak mempunyai sebarang halangan terhadap cadangan ini. Malah, saya telah menyatakan hasrat secara terbuka bahawa EAIC boleh menjadi agensi peneraju bagi menubuhkan Ombudsman Malaysia ini, dan memastikan tidak terdapat pertindihan fungsi dan redundancy penyiasatan Ombudsman Malaysia dengan badan pemantau yang lain.
  1. Dalam penubuhan Ombudsman Malaysia, konsepnya tidak boleh dibuat dalam bentuk ombudsman yang tradisional sebagaimana yang terdapat di negara-negara lain. Ombudsman seharusnya diperuntukkan dengan fungsi dan kuasa yang tidak kurang (no less favourable) seperti fungsi dan kuasa sedia ada EAIC lebih-lebih lagi kuasa untuk menjalankan penyiasatan dalam memantau isu integriti semua penjawat awam agar ia dapat memberi impak kepada usaha Kerajaan dalam membenteras salah laku penjawat awam di Malaysia.

Saudara dan saudari,

  1. Walaupun penubuhan Ombudsman Malaysia sedang dalam cadangan Kerajaan, tetapi EAIC tetap perlu terus melaksanakan tanggungjawab yang diberikan, dan dalam melaksanakannya, EAIC perlu diberikan suntikan nafas baru.
  2. Tugas kawal selia integriti ini seringkali dianggap dry dan membosankan. Namun dengan penjenamaan semula terhadap logo EAIC, ia akan menjadi perangsang dan memberi semangat serta jiwa baru kepada warga kerja untuk menjalankan tugasannya. Malah penggunaan logo baharu juga akan memberikan pandangan baru orang ramai kepada EAIC.
  1. Selain menjenamakan semula EAIC, pemasaran berkenaan fungsi dan peranan EAIC juga perlu disebarluaskan lagi. Baru-baru ini, talian Whatsapp Aduan Salah Laku Penguat Kuasa telah dilancarkan dan diwar-warkan melalui media. Saya berharap menerusi inisiatif ini, aduan akan lebih mudah disalurkan dan lebih user friendly, seiring dengan perkembangan semasa di mana telefon bimbit telah menjadi sebahagian daripada masyarakat.
  1. EAIC juga seiring dengan tugasan yang dilaksanakan, perlu membuat hebahan terhadap setiap success story atau isu melibatkan kepentingan awam yang disiasat agar segala tindakan EAIC dimaklumi. Apabila hasil kerja tersebut ditunjukkan, ia tidak membazir sumber yang digunakan.
  1. Dalam memastikan usaha dan kerja keras yang dicurahkan oleh semua warga kerja EAIC dihargai, EAIC perlu berkembang dan mempunyai perkembangan kerjaya yang baik. Oleh yang demikian, penstrukturan perjawatan EAIC akan menjadi fokus utama, supaya perjawatan EAIC adalah seiring perjawatan dengan agensi setara.

Sidang hadirin sekalian,

  1. Semoga perancangan yang dihasratkan ini akan dapat dicapai dan dilaksanakan sepanjang tempoh pelantikan Pesuruhjaya kali ini. Saudara-saudari teruslah memberikan sokongan dan berusaha melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh komited. Semoga usaha yang kita berikan ini akan meningkatkan kecemerlangan serta kejayaan agensi penguatkuasaan serta perkhidmatan awam amnya, dalam mendepani kehendak serta aspirasi rakyat dan negara.
  1. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya AidilFitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua. Terimalah dua rangkap pantun daripada saya sebagai penyeri—

Dalam menyambut meriahnya raya,

Jangan lupakan saudara di Gaza,

Serba sederhana tetap bermakna,

Semoga amalan kita diterima.

Mekar mawar di laman seni,

Harum baunya meriakan hati;

Ramadan mendidik nilai integriti,

Syawal mengeratkan ukhuwah sejati.

Sekian,

Wabillahitaufik walhidayah Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.