MAJLIS SAMBUTAN SEDEKAD PENUBUHAN

SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN (EAIC)

&

ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG EAIC TAHUN 2020

1 April 2021

Dewan Head of State,

Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)

 

Bismillahirahhmanirrahim,

 

Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh

dan Salam Sejahtera,

 

Yang Dihormati barisan Pesuruhjaya,

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan atau EAIC,

 

Yang Dihormati mantan-mantan Pengerusi dan mantan-mantan

Pesuruhjaya EAIC,

 

Yang Berbahagia Tan Sri - Tan Sri, Dato’ Sri dan Dato’- Dato,

Dif-dif Kehormat,

Ketua dan Wakil Ketua Jabatan Agensi-agensi Penguatkuasaan,

Yang Berusaha Puan Norhayati Binti Ahmad,

Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC,

 

Yang Diraikan penerima-penerima Anugerah Perkhidmatan

Cemerlang EAIC Tahun 2020, dan

Seluruh kakitangan EAIC yang saya hormati sekalian.

 

Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya jua dapat kita bersama-sama hadir dan berkumpul di Dewan Head of State, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada pagi ini, bersempena Majlis Sambutan Sedekad Penubuhan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan dan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang EAIC Tahun 2020.

2. Sesungguhnya saya sangat berbesar hati dapat bersama para hadirin sekalian menjadi sebahagian daripada sejarah EAIC menyambut ulang tahun ke – 10 pada hari ini, sejak penubuhannya pada 1 April 2011. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah, penghargaan dan terima kasih kepada barisan Pesuruhjaya dan kakitangan EAIC serta semua yang telah berkhidmat bersama EAIC untuk kepentingan negara kita. Jasa saudara dan saudari sentiasa dikenang. Saya ingin memberi jaminan bagi diri saya dan saya percaya bagi seluruh warga EAIC bahawa dekad yang dipelopori dan dirintis ini tidak akan sia-sia dan kami akan terus menambah baik demi menggalas dan melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan.

3. Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran kepimpinan agensi- agensi seliaan EAIC. Kehadiran saudara-saudari, amatlah bermakna kepada kami. Sesungguhnya kerjasama berterusan yang diberikan oleh agensi-agensi seliaan amatlah dihargai.

Saudara-saudari hadirin sekalian,

4. Banyak telah tercapai dalam 1 dekad yang lalu. Sebagai contoh, EAIC telah menerima sebanyak 5,237 aduan terhadap pelbagai agensi penguatkuasaan, dimana EAIC telah membuka sebanyak 4,483 fail aduan. Sehingga kelmarin, 31 Mac 2021, EAIC telah menyelesaikan dan menutup sebanyak 4,100 fail aduan dari keseluruhan jumlah aduan yang diterima. EAIC juga telah membuka sebanyak 1,035 fail siasatan dan sehingga kini, sebanyak 837 kes telah diselesaikan.

5. Untuk tahun 2021 sahaja, sehingga 31 Mac 2021, EAIC telah menerima 326 aduan dan membuka sebanyak 274 fail aduan.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

6. EAIC ditubuhkan di bawah Akta 700 sebagai agensi yang melaksanakan fungsi badan pengawasan integriti di kalangan agensi-agensi penguatkuasaan. Peranan utama EAIC adalah untuk menerima aduan daripada orang awam mengenai salahlaku seseorang pegawai penguat kuasa atau agensi penguatkuasaanserta merumuskan dan mengadakan mekanisme bagi mengesan, menyiasat dan mencegah salah laku.

7. EAIC kini mengawal selia 21 buah agensi penguatkuasaan meliputi antara lain, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Pendaftaran Negara. Kesemua 21 agensi ini melibatkan lebih 210,000 orang pegawai dan kakitangan.

8. Adalah amat mustahil, bagi EAIC yang sebegitu kecil untuk melunaskan tanggungjawab mengawal selia integriti agensi-agensi yang sebegitu besar dan sebegitu berkuasa

EAIC :

- sangat kecil dari segi bilangan perjawatan - hanya 78

- sangat kecil dari segi bajet – hanya RM8 juta setahun

- sangat kecil dari segi sumber kuasa – Akta 700 hanya memberi kuasa kepada EAIC untuk membuat pengesyoran. Hanya PBT (Pihak Berkuasa Tatatertib) Agensi Penguatkuasaan mempunyai kuasa untuk menjatuhkan sebarang hukuman iaitu PBT di PDRM untuk Polis, PBT Imigresen untuk Imigresen dan sebagainya.

9. Penyelesaian konvensional kepada masalah ini yang paling mudah ialah perbesarkan EAIC. Tambahkan bilangan jawatan. Besarkan peruntukan kewangan. Pinda Akta 700 untuk beri lebih kuasa kepada EAIC. Namun demikian, saya yakin sekiranya diperbesarkan EAIC sepuluh kali ganda, menjadi 780 orang atau bajet sebanyak RM80 juta setahun, kita masih akan menghadapi isu-isu yang kita hadapi sekarang.

10. Oleh itu bergerak kehadapan, EAIC perlu membulatkan azam dan menguatkan tekad untuk memberi fokus kepada isu-isu yang penting yang mana EAIC boleh membuat perbezaan (to make a difference). Mengambil kira kekangan yang dihadapi. Kita tidak boleh dan tidak mampu untuk memberi penekanan yang sama kepada semua kes. We cannot do everything for everybody or we will only be stretching our already limited resources too thin. Kalau kita berbuat demikian, kita ibarat hanya melepas batuk di tangga. Dan dari segi integriti melaksanakan tanggungjawab pada fikiran saya ianya adalah satu pelepasan tanggungjawab (“abdiction of responsibility”). Maka adalah lebih baik bagi EAIC menggunakan sumber yang terhad untuk isu-isu yang penting, mempunyai merit dan memberi kesan yang besar.

Isu-isu yang remeh, frivolous and vexatious

11. Sehubungan dengan ini, isu-isu yang kecil, yang remeh perlu ditangani dengan cara lain.

12. Adalah diamati, sangat banyak aduan diterima EAIC tentang apa yang dikatakan kebiadapan atau layanan kasar oleh pegawai penguat kuasa terhadap orang awam terutamanya di kaunter- kaunter perkhidmatan, di pelbagai agensi penguatkuasaan. Setelah diselidiki didapati ianya melibatkan pegawai meninggi suara. Ada kalanya pengadu sendiri mengaku mereka respon dengan turut meninggikan lagi suara mereka sendiri.

13. Penafsiran biadap atau layanan kasar ini agak terlalu subjektif dan sukar serta tidak adil untuk menghukum seseorang penguatkuasa hanya kerana aduan yang dibuat oleh sesetengah individu tanpa menjalankan siasatan terperinci. Walaupun kita perlu meletakkan diri di kedudukan pengadu, EAIC juga perlu berlaku adil kepada pihak yang diadukan. Siasatan yang dijalankan ini akan mengambil masa dan menggunakan sumber yang terhad. Pada hemat saya, adalah lebih baik sumber EAIC digunakan bagi kes-kes yang lebih serius. Oleh yang demikian, EAIC secara umumnya mengambil pendekatan untuk tidak lagi menjalankan siasatan terhadap aduan-aduan yang bersifat frivolous or vexatious in nature; yang remeh atau menyusahkan kerana aduan aduan tersebut tidak memberi nilai tambah yang tinggi kepada mutu perkhidmatan.

14. Sehubungan dengan ini adalah lebih praktikal untuk mengadakan kempen berterusan, supaya penjawat awam memberi perkhidmatan dengan senyuman (“service with a smile”). Tetapi ia relevan bukan sahaja di agensi-agensi penguatkuasaan tetapi juga di agensi-agensi bukan penguatkuasaan. Malah di syarikat-syarikat swasta. Di sekolah. Di rumah. Dalam diri kita. Hatta di mana sahaja! 

Kes-kes Aduan Rasuah kepada SPRM

15. EAIC banyak juga menerima aduan-aduan mengenai salah laku rasuah berkaitan pegawai penguat kuasa. EAIC berpendapat kes-kes seperti ini, lebih baik diserahkan oleh EAIC kepada SPRM yang lebih kompeten untuk membuat satu penyiasatan yang wajar.

Kes-kes Untuk PBT

16. Bagi aduan yang bersifat pentadbiran (contoh tidak puas hati arahan dalaman pentadbiran seperti arahan pertukaran dan tidak dinaikkan pangkat) dan berkenaan dengan tatakelakuan dan dimana setelah diteliti kesalahan tatatertib dapat dizahirkan aduan itu akan dipanjangkan untuk diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) Agensi yang berkenaan.

Kes-kes Berkurangan

17. Oleh itu kes-kes yang perlu dibuat siasatan oleh EAIC akan berkurangan apabila ditolak kes-kes remeh, kes-kes rasuah dan kes-kes disiplin.

18. Pun begitu, terdapat juga Unit Integriti Agensi Penguatkuasaan membuat penyiasatan terhadap kes-kes yang juga diadukan kepada EAIC. Dalam kes-kes sebegini adalah lebih baik EAIC tidak menjalankan siasatan sendiri dan sebaliknya memantau dan bekerjasama dengan Unit Integriti Agensi Penguatkuasaan menjalankan siasatan yang wajar. Adalah didapati dalam kes-kes sedemikian, penyiasatan agensi penguatkuasaan lebih berkesan daripada EAIC. Sebagai contoh, tindakan dijalankan oleh JIPS sebagaimana dapatan yang diumumkan oleh CP Dato’ Zamri Yahya berkenaan dengan kes rogol di Lokap Miri, dan anggota polis yang diadukan di Sekatan Jalan Raya (SJR).

Bekerjasama Dengan Agensi Penguatkuasaan

Saudara-saudari sekalian,

19. Saya percaya majoriti besar penjawat awam, termasuk yang berkhidmat di agensi-agensi penguatkuasaan adalah berintegriti. Sungguhpun tidak boleh dinafikan ada juga penjawat awam yang kurang atau tidak berintegriti. Dan sungguhpun bilangan mereka ini jauh lebih kecil dari yang baik, ekoran beberapa ekor “kerbau membawa lumpur, semuanya habis terpalit”.

20. Sehubungan dengan ini, saya mengalu-alukan penekanan yang diberikan untuk membincang pembanterasan isu ini di peringkat tertinggi perkhidmatan awam. Sebagai contoh, pada Khamis, 25 Mac 2021, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali telah membincangkan dengan Ketua-Ketua Setiausaha dan Setiausaha Kerajaan Negeri, mengenai cabaran pemantapan integriti dalam perkhidmatan awam.

21. Ini bermakna EAIC bukanlah bekerja berseorang diri mengenai integriti. Orang lain dan jabatan lain juga turut bekerja. Adalah amat penting untuk EAIC bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC sebagai senjata ampuh bagi mencapai sasarannya. EAIC to work through others and with others. Ini lebih-lebih lagi seperti dinyatakan Akta 700 hanya memberikan kuasa kepada EAIC untuk membuat pengesyoran tetapi hanya agensi penguatkuasaan melalui Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) masing-masing mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman.

22. Sehubungan dengan ini, EAIC menjalinkan hubungan yang baik dan berfaedah dengan PDRM bermula dengan Ketua Polis Negara sendiri, Timbalan Ketua Polis Negara, dan lain-lain pegawai, khususnya Dato’ Zamri Yahya, Pengarah JIPS dan pegawai JIPS.

23. Saya gembira dan bersyukur, kerjasama dan hubungan pintar dengan PDRM telah digerakkan melalui sesi dialog pegawai- pegawai kanan PDRM-EAIC yang diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Negara dan EAIC diketuai oleh Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC. Sesi kali pertama telah diadakan pada 11 Januari 2021 dan yang baru pada 22 Mac 2021. InshaAllah, ini akan diadakan secara berkala dan dipergiatkan.

24. Perbincangan-perbincangan ini telah dapat merumuskan beberapa penyelesaian sebagaimana yang dihajatkan dalam penubuhan EAIC. Pendekatan ini akan turut diadakan dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain. Saya percaya hubungan kerjasama ini akan memberi manfaat kepada masyarakat dan Negara.

Saudara-saudari sekalian,

25. Selain daripada menangani aduan-aduan yang wajar, EAIC akan menumpukan perhatian terhadap fungsi-fungsi lain yang diperuntukkan di bawah Akta 700. EAIC akan mengkaji secara mendalam isu-isu yang membelenggu agensi-agensi penguatkuasaan dan mengesyorkan penyelesaian jangka panjang untuk menghapuskan masalah-masalah berkaitan atau sekurang- kurangnya mengurangkan kejadiannya.

26. Sehubungan dengan ini, EAIC akan menjalankan kajian menyeluruh dan mendalam mengenai Isu Kematian Dalam Tahanan. EAIC akan menggerakkan kolaborasi bersama organisasi-organisasi berkepentingan dari agensi-agensi perkhidmatan awam dan juga Badan Bukan Kerajaan (NGOs) bagi memastikan suara dan kehendak setiap organisasi berkepentingan yang wajar akan diambil kira. Kajian ini akan diterajui oleh YBhg. Tan Sri Datuk Zainun Binti Ali, Timbalan Pengerusi EAIC dan merupakan mantan Hakim Mahkamah Persekutuan.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

27. EAIC mempunyai tugas dan tanggungjawab yang berat. Sebagai sebuah badan pengawasan integriti, EAIC perlulah menjadi yang terbaik, “be whiter than white” dari segi integritinyaDan tanggungjawab ini perlulah dipikul secara kolektif oleh setiap kita di EAIC.

Saudara-saudari sekalian,

28. Sebagai pemimpin sesebuah agensi atau organisasi, kita perlu memahami denyut nadi serta kekangan yang dihadapi oleh pegawai dan anggota di bawah seliaan kita. Tetapi kita hendaklah tidak sekali-kali berkompromi terhadap salah laku.

29. Kita perlu mempunyai “Zero Tolerance” (ZETO) terhadap tindakan yang menyalahi undang-undang, lebih-lebih lagi kerana kita yang menguatkuasakan undang-undang. Janganlah hanya kerana ‘nila setitik, rosak susu sebelanga’. Malah sebagai pemimpin, kita sendiri perlu memastikan nila setitik itu dikeluarkan dari susu sebelanga itu. Inilah yang dipanggil “Tone from The Top”. Kepimpinan melalui teladan. Kepimpinan yang berpegang teguh kepada prinsip integriti. Dan inshaAllah, “Tone from The Top” akan menjadi budaya “Tone from every level”.

30. Sebagai pemimpin kepada agensi penguatkuasaan yang menguatkuasakan undang-undang, kita perlu meletakkan standard penguatkuasaan undang-undang yang konsisten kepada semua, tidak mengira status. Malahan, sekiranya perlu ada dua standard, standard yang diletakkan ke atas diri kita perlulah lebih tinggi.

31. Oleh itu, saya amat tertarik dengan satu laporan 16 Mac 2021 bertajuk “Polis kena saman trafik di Bukit Aman”. Laporan tersebut menyatakan bahawa 146 saman trafik telah dikeluarkan kepada warga Bukit Aman atas pelbagai kesalahan dan PDRM kekal tegas dalam memastikan pegawai dan anggotanya agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya supaya dapat menjadi teladan kepada masyarakat amnya.

32. Ia merupakan satu mesej yang jelas dan nyata. Standard yang dikenakan kepada semua orang juga dikenakan kepada warga PDRM. Syabas kepada PDRM.

Saudara-saudari sekalian,

33. Integriti sememangnya merupakan tanggungjawab setiap individu. Dan perkara paling utama adalah kita sendiri harus menjauhkan diri daripada salahlaku integriti. Integriti perlu menjadi teras budaya kerja kita SEMUA. Adalah menjadi idaman agar tahap integriti agensi penguatkuasaan mencapai satu kedudukan yang tinggi, di mana integriti sudah menjadi teras budaya kerja kita DAN keperluan untuk EAIC DAN LAIN-LAIN AGENSI SERUPA mungkin akan tiada. Saya berdoa ke hadrat Allah swt, semoga integriti akan menjadi teras budaya kerja kita SEMUA.

Sidang hadirin yang dihormati sekalian,

34. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang EAIC pada tahun 2020. Semoga anugerah yang diperolehi ini akan menjadi pemangkin kepada anda semua untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada Negara. Bagi yang tidak terpilih pada kali ini, semoga anda semua akan terus berusaha dan meningkatkan prestasi serta terus bergerak maju menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh berintegriti dan berakauntabiliti dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada orang awam.

Kepada rakan-rakan saya di EAIC, saya mengajak saudara-saudari semua menguat tekad berganding bahu untuk menjadikan EAIC dalam perkhidmatan awam negara kita ibarat Leicester Football Club dalam EPL – English Premier League.

Dalam musim 2015-16, Leicester telah memenangi Premier League, mengalahkan kelab-kelab yang lebih besar, lebih terkenal, lebih kaya. Seperti M.U, Manchester City, Chelsea, Arsenal.

Pada masa ini, ianya masih di atas, di tangga ketiga, hanya 1 point di belakang M.U di tangga kedua.

Bayangkan, EAIC.

Sekian.

Wabillahitaufik walhidayah Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.