MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN
JASAMU DIKENANG
SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN
TAHUN 2021
1 Jun 2022
Dewan Cashmere,
The Zenith Hotel, Putrajaya
Bismillahirahhmanirrahim,
Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh
dan Salam Sejahtera,
Barisan Pesuruhjaya,
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC),
Puan Norhayati binti Ahmad,
Setiausaha EAIC,
Yang diraikan para penerima anugerah, serta
Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian.
Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah rahmat dan keizinanNya jua dapat kita bersama-sama pada pagi ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan bagi tahun 2021.
2. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada saudara-saudari, yang telah dipilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada kali ini. Penganugerahan ini merupakan penghargaan dan pengiktirafan atas prestasi kerja dan sumbangan yang telah diberikan dalam tahun 2021. Tahniah sekali lagi.
3. Penerima anugerah merupakan hanya 8 peratus daripada keseluruhan bilangan perjawatan di EAIC. Oleh itu pasti anda akan dinilai oleh rakan sekerja dan pelanggan. Adakah anda mempunyai ciri dan prestasi yang lebih baik daripada mereka, untuk menerima anugerah ini?
Saudara-saudari sekalian,
4. Saya ingin mengingatkan bahawa anugerah ini datang bersama tanggungjawab. Tanggungjawab untuk menjadi pemegang amanah yang boleh dicontohi oleh orang lain. Penganugerahan ini juga bukan merupakan modal untuk mengehadkan pencapaian. Sebaliknya ia harus menjadi pemangkin untuk terus berusaha meningkatkan lagi prestasi, memacu EAIC memartabatkan integriti.
5. Dalam pada itu kepada saudara-saudari yang tidak terpilih pada tahun ini, bukanlah bermakna anda tidak cemerlang. Saya difahamkan bahawa rata-rata markah LNPT (Laporan Nilai Prestasi Tahunan) yang diterima hampir seluruh warga kita adalah dalam lingkungan 90% ke atas. Berdasarkan purata nilai diterimamenunjukkan anda semua cemerlang. Dan kecemerlangan ini sudah pasti dapat diterjemahkan kepada hasil kerja yang terbaik.
6. Justeru, pada yang tidak terpilih hendaklah tidak berkecil hati, malah harus terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan kita. Pada saya mendapat penghargaan daripada pelanggan yang merasa nasib mereka terbela adalah satu kepuasan dalam diri kita sendiri (self satisfaction) yang mungkin lebih bermakna dari Anugerah Khidmat Cemerlang. Dan, Insya Allah sekiranya ini adalah cara kerja kita, saya percaya kita akan meraih Anugerah Khidmat Cemerlang berturut-turut.
Sidang hadirin sekalian,
7. ‘Reward’ merupakan ganjaran kepada kerja baik yang dilaksanakan. Dan apabila wujudnya ‘reward’, perlu wujudnya ‘punishment’. Dalam aspek Pengurusan Sumber Manusia, ‘reward’ dan ‘punishment’, ganjaran dan hukuman, perlu dilaksanakan secara seiring. Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan juga Sijil Penghargaan Perkhidmatan Cemerlang merupakan satu ‘reward’, kepada yang layak menerimanya. Bagaimanapun, ‘punishment’ perlu juga dikenakan kepada mereka yang melanggar peraturan.
8. Hanya apabila kedua-dua mekanisma ini dijalankan seiring, barulah organisasi dapat dibimbing ke arah mencapai tahap kecemerlangan yang diharapkan.
9. Oleh yang demikian, kita perlulah melunaskan tanggungjawab dengan tegas dan adil untuk melaksanakan ganjaran dan hukuman ke atas mereka yang wajar menerimanya.
Saudara-saudari sekalian,
10. Sebagai manusia kita tidak dapat lari dari melakukan kesilapan. Pada saya, it’s OK to make a mistake. But do not make the same mistake twice.
Hadirin sekalian,
11. Kita harus ingat bahawa setiap daripada kita, baik di EAIC atau di mana sahaja, termasuk di sektor swasta diberikan jawatan kerana perkhidmatan kita diperlukan oleh pelanggan. Bagi kita di perkhidmatan awam, perkhidmatan ini diperlukan bukan sahaja oleh orang awam, pihak swasta, malah termasuklah oleh kita dikalangan penjawat awam sendiri.
12. Saya percaya semua kita mahu diberikan perkhidmatan yang mesra, cepat dan berkualiti. Baik dalam mendapat atau memperbaharui pasport antarabangsa, mendapatkan tuntutan bayaran, berurusan dengan Polis, Mahkamah, mahupun mendapat pesanan melalui GRAB. Apa saja!! Kita mahu yang terbaik. Barang diingat orang lain pun juga mengharapkan perkhidmatan yang terbaik. Termasuk dari kita.
13. Oleh itu dalam melunaskan amanah yang digalas, kita hendaklah bersungguh-sungguh hingga mencapai matlamat iaitu “outcome” yang dihajatkan. Bukan setakat melakukannya sebagai satu proses atau “output”. Atau setakat melepaskan batuk di tangga. Saya bersyukur ramai dikalangan kita yang mengambil tindakan proaktif, yang meletakkan diri mereka sebagai pelanggan kita, dan melakukan perkara yang mungkin “going beyond our legal remit”. Yang melangkaui kebiasaan.
14. Kita juga hendaklah sentiasa cakna dan berusaha memperbaiki lagi tatacara dan proses pemberian perkhidmatan. Agar yang susah boleh diberikan dengan mudah dan menyenangkan. Dan yang mudah dipermudahkan lagi. Tanpa mengkompromi integriti.
Saudara-saudari sekalian,
15. Sesungguhnya kerja itu mudah. Tetapi seringkali kita yang membuatnya susah. Birokrasi itu baik. Tetapi karenah birokrasi itu tidak baik. Kita perlu minda Pemudah, Pemudahcara dan Mempermudahkan. Adalah disedari setiap jabatan dalam kerajaan, malah setiap penjawat awam mempunyai bidang tugas yang ditetapkan. Di masa lampau, dan kalau kita mahu di masa kini dan untuk selama-lamanya bahawa dalam menjalankan tugasan, kita semua tidak boleh melangkaui bidang tugas yang ditetapkan. Dan dalam bidang kita tidak siapa yang boleh menjalankannya, melainkan kita sahaja. Kita boleh jadi “Little Napolean” atau “Big Napoleon”. Pegawal keselamatan sebagai contoh mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengawal keselamatan. Dan pada saya Pengawal Keselamatan Contoh, yang cemerlang ialah pengawal yang mengawal segala-galanya. Termasuk tata kelakuan. Juga dikalangan kita Pegawai Pengawal yang mengawal Pengawal.
16. Sungguhpun sebagai Pemegang Amanah yang cemerlang dan berintegriti kita seharusnya melakukan yang terbaik dalam bidang tugas kita, saya percaya bahawa sekiranya tidak menyalahi peruntukan mana-mana undang-undang, adalah menjadi tuntutan bagi kita, melangkaui bidang tugasan kita.
17. Malah, bagi kita di EAIC, meskipun aduan yang diterima tidak berkaitan dengan bidang kuasa diperuntukkan, adalah wajar kita melangkaui tugasan, menyalurkan aduan tersebut kepada pihak atau agensi penguatkuasaan yang berkenaan untuk tindakan lanjut. Sebarang aduan diterima tidak ditolak, dengan mengamalkan konsep “No Wrong Door”. Tiada pintu yang salah, dalam menyalurkan aduan kepada pihak Kerajaan, terutamanya berkenaan perkhidmatan Kerajaan itu sendiri. Perkhidmatan Awam wajar mendakap erat prinsip kebersamaan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Mengamalkan pendekatan “Whole of Government”.
Sidang hadirin sekalian,
18. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah, di atas khidmat setia yang ditunjukkan oleh warga EAIC yang telah berkhidmat selama 10 tahun atau lebih di EAIC.
19. Selain itu, terima kasih jua diucapkan kepada warga EAIC yang telah menamatkan perkhidmatan dan kini bertugas di agensi kerajaan yang lain, antaranya Jabatan Peguam Negara. Semoga anda semua akan terus menyumbang tenaga dan menyebarkan kepentingan integriti di jabatan baharu anda.
20. Adalah disedari bahawa EAIC merupakan sebuah jabatan kecil dengan perjawatan tertutup. Peluang perkembangan kerjaya mungkin tidak banyak. Tetapi khidmat yang diberikan oleh hadirin sekalian, dalam membangunkan EAIC adalah amat dihargai.
21. Penambahbaikan terhadap cara kerja di EAIC yang dilaksanakan dibawah kepimpinan Puan Norhayati, sehingga menyelesaikan kes-kes tertunggak adalah merupakan satu kejayaan. Semoga momentum sedia ada disambut dengan melipatgandakan lagi usaha membuat perubahan yang positif pada kerja kita masing-masing. Sumbangan setiap individu, secara kolektif akan memberi impak yang besar kepada sesebuah perkhidmatan. Dan hasilnya akan meningkatkan prestasi serta imej bukan sahaja EAIC dan agensi penguatkuasaan seliaan, malah Perkhidmatan Awam itu sendiri.
22. Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua penerima anugerah. Adalah penting komitmen serta pencapaian cemerlang ini diteruskan malah sentiasa dipertingkatkan serta menjadi pendorong kepada kejayaan lebih besar pada masa akan datang. Bagi yang tidak terpilih, jangan berputus asa, teruskan berusaha dan Insya Allah masa anda akan tiba.
Sekian,
Wabillahitaufik walhidayah Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.