UCAPAN ALU-ALUAN

 

YANG BERBAHAGIA TAN SRI DR. ISMAIL HJ. BAKAR

PENGERUSI

SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN (EAIC)

PROGRAM ENCOURAGING RESPONSIBILITY ACCOUNTABILITY TRUSTWORTHINESS (ERAT) EAIC

BERSAMA PENGUAT KUASA, MAHASISWA & MASYARAKAT

9 NOVEMBER 2024

DEWAN PERTUBUHAN PELADANG

KOTA SAMARAHAN, SARAWAK

 

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.

Selamat Sejahtera, Salam Malaysia MADANI dan Salam Sarawakku Sayang.

  • Yang Berhormat Datuk Hajah Rubiah Wang,

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 

  • Yang Berusaha Tuan Mohamad Irwan Bahari Bujang,

Residen Bahagian Kota Samarahan

  • Yang Berbahagia Barisan Pesuruhjaya,

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC)

  • Yang Berusaha Puan Asliza Ali,

Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC

  • Wakil Agensi-Agensi Penguatkuasaan Seliaan, Agensi Kerajaan, Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum, Pemegang Taruh, Mahasiswa, pihak media.
  • Tuan-Tuan dan Puan-Puan, sidang hadirin yang dihormati sekalian.
  1. Alhamdulillah, terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izinNya dapat kita hadir ke Program Encouraging, Responsibility, Accountability, Trustworthiness atau akronimnya ERAT EAIC Bersama Penguat Kuasa, Mahasiswa dan Masyarakat di Kota Samarahan pada hari ini.
  1. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih serta mengalu-alukan kehadiran Yang Berhormat Datuk Hajah Rubiah Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kerana dapat meluangkan masa bersama-sama kita bagi merasmikan program pada pagi ini. Semoga kehadiran Yang Berhormat akan menambahkan lagi seri program ini.
  1. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga saya rakamkan kepada Residen Kota Samarahan, Tuan Mohamad Irwan Bahari Bujang dan juga Pejabat Residen Kota Samarahan yang telah banyak membantu dalam penyelarasan urusan logistik. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua agensi Kerajaan dan agensi penguatkuasaan seliaan yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam program ini.
  1. Saya amat menghargai dan dengan penuh sukacita mengalu-alukan kehadiran masyarakat di sekitar Kota Samarahan dan Sarawak secara keseluruhannya. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan hari ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat begitu percaya dan menyokong usaha Kerajaan untuk membanteras salah laku penguat kuasa serta membudayakan integriti sebagai teras perkhidmatan awam, terima kasih atas sokongan yang diberikan!

MATLAMAT PROGRAM ERAT EAIC

Hadirin yang saya hormati,

  1. Untuk makluman semua, tajuk program ini, iaitu ERAT membawa maksud yang simbolik.

E – ENCOURAGING / MENGGALAKKAN

R – RESPONSIBILITY / BERTANGGUNGJAWAB

A – ACCOUNTABILITY / AKAUNTABILITI

T – TRUSTWORTHY / KEPERCAYAAN

Oleh itu secara ringkasnya, tujuan utama yang dibawa oleh EAIC kepada semua yang hadir pada hari ini adalah untuk menggalakkan nilai-nilai penting seperti tanggungjawab, kebertanggungjawaban, dan kepercayaan. Ini bermakna, semua pihak termasuk EAIC, penguat kuasa, penjawat awam, dan rakyat perlu bekerjasama untuk memastikan bahawa penguat kuasa menjalankan tugas mereka dengan jujur dan berintegriti.

  1. Usaha ini juga bertujuan untuk membanteras salah laku dalam kalangan penguat kuasa dan menjadikan integriti sebagai asas dalam perkhidmatan awam, supaya ia memberi manfaat kepada semua.
  1. Seiring dengan definisi Malaysia Madani, yang memfokuskan konsep kesediaan menerima perubahan dengan mengambil kira saranan segenap lapisan masyarakat, keberadaan EAIC pada hari ini juga adalah sebahagian daripada menjayakan matlamat ini, iaitu untuk mendapatkan maklum balas dan mengumpulkan syor-syor penambahbaikan mengenai mutu perkhidmatan agensi Kerajaan khususnya oleh agensi-agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC.
  1. Persekitaran masa kini yang dinamik menuntut kami di EAIC untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam memenuhi kehendak pelanggan. Kalau sebelum ini kami buka booth pameran dan kaunter aduan untuk tunggu orang awam datang membuat aduan, tetapi melalui ERAT, kami bawakan EAIC kepada masyarakat dan penguat kuasa agar khidmat dan peranan kami dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua pihak.

SERUAN MENJADI MASYARAKAT YANG BERTANGGUNGJAWAB

Hadirin yang saya hormati,

  1. Antara sasaran utama dalam penganjuran program ERAT ialah ketua-ketua masyarakat, ketua kaum dan NGO. Anda merupakan antara pemegang taruh yang penting bagi kami di EAIC dalam menjayakan mandat dan aspirasi Kerajaan sendiri untuk membanteras salah laku penguat kuasa serta membudayakan integriti dalam perkhidmatan awam. Peranan anda dalam menyampaikan maklumat dan memberi penerangan kepada masyarakat sangat berharga dalam memastikan usaha ini mencapai matlamat yang diinginkan.
  1. Selain menyampaikan maklumat mengenai EAIC, ketua masyarakat dan NGO juga berperanan sebagai "mata-mata" untuk menyalurkan aduan tentang salah laku penguat kuasa. Masyarakat perlu tahu bahawa mereka tidak perlu takut melaporkan sebarang penyalahgunaan kuasa atau ketidakadilan. Melalui saluran yang sah seperti EAIC, setiap aduan akan disiasat dengan telus. Sebagai pemimpin setempat, anda penting dalam memudahkan proses ini dan memberi keyakinan kepada masyarakat untuk melaporkan dan mendapatkan pembelaan.
  1. Dengan kerjasama antara ketua masyarakat, NGO, dan EAIC, kita dapat membentuk jaringan sokongan yang kukuh, di mana setiap individu lebih berdaya dan yakin untuk menyuarakan hak mereka. Ini adalah langkah penting untuk mencipta masyarakat yang adil, berintegriti, dan bebas penyelewengan.

INTEGRITI AGENDA UTAMA DALAM PERKHIDMATAN AWAM

Hadirin sekalian,

  1. Dalam memperkasakan perkhidmatan awam, adalah penting untuk memiliki kakitangan yang berintegriti. Warren Buffet, seorang ahli perniagaan terkenal Amerika Syarikat pernah berkata, “dalam mencari pekerja, tiga kualiti terpenting ialah Intelligence, Energy and Integrity. Dan sekiranya seseorang tidak mempunyai kualiti terakhir, maka dua kualiti terdahulu tidak berguna.” Di sini kita lihat begitu pentingnya nilai integriti. Walau bagaimanapun, integriti ini adalah isu jati diri. Ia bukanlah sesuatu yang boleh diajar, tetapi saya percaya boleh dipupuk.
  1. Oleh yang demikian, dalam memupuk nilai integriti di kalangan penjawat awam dan penguat kuasa, integriti harus menjadi agenda utama dalam mesyuarat jabatan. Isu integriti, salah laku dan etika perlu menjadi perbincangan utama dan Unit Integriti agensi penguatkuasaan seliaan bertanggungjawab melaporkan sebarang pelanggarannya untuk pemantauan EAIC.
  1. Sebarang anggota atau pegawai penguat kuasa yang didapati melakukan pelanggaran integriti, salah laku dan etika akan diambil tindakan tegas dan dikeluarkan daripada perkhidmatan. Tindakan berani ini perlu diambil untuk menunjukkan keseriusan Kerajaan terhadap mereka yang mengkhianati amanah yang diberikan apabila mereka menerima tawaran pekerjaan sebagai penjawat awam. Mereka telah melakukan pengkhianatan kepada negara dan perlu dihukum. Diharap menerusi tindakan tegas ini, akan memberi peringatan kepada yang lain untuk tidak melakukannya dan berkhidmat dengan penuh taat dan setia kepada Negara.

TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AWAM

 

Hadirin yang dihormati,

  1. Sektor perkhidmatan negara perlu berubah untuk menghadapi cabaran masa depan, melibatkan bukan sahaja perubahan dalam pelaksanaan aktiviti tetapi juga anjakan minda masyarakat. Stigma mengenai sektor awam yang dianggap lembab dan kurang kemahiran perlu diubah, dengan agensi-agensi kerajaan menggunakan teknologi dan inovasi terkini untuk meningkatkan perkhidmatan mereka.
  1. Sebagai penjawat awam, kita tidak perlu takut dengan aduan. Menurut Janelle Barlow dalam buku “A Complaint is a Gift”, complaints are not problems to be avoided – complaints are gifts to be welcomed. Oleh itu aduan adalah peluang yang perlu diterima, bukan dihindari, kerana ia memberikan idea dan maklumat berguna untuk memperbaiki perkhidmatan.
  1. Bill Gates juga menyatakan “your most unhappy customers are your greatest source of learning”. Dalam konteks ini, aduan awam memainkan peranan penting dalam mendorong inovasi dan transformasi negara, dengan sumbangan semua pihak yang membantu meningkatkan perkhidmatan sektor awam.
  1. Oleh yang demikian, program ERAT EAIC di Sarawak pada hari ini merupakan platform yang sangat penting untuk mendengar aduan dan maklum balas daripada masyarakat, terutamanya dalam memperkukuhkan integriti penguat kuasa. Program ini tidak hanya memberi ruang untuk menyalurkan aduan, tetapi juga bertujuan untuk mendorong perubahan dan inovasi dalam perkhidmatan awam.
  1. Melalui kerjasama antara agensi kerajaan, penguat kuasa, dan masyarakat, kita dapat membentuk perkhidmatan yang lebih cekap, berintegriti, dan responsif terhadap keperluan rakyat, sejajar dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk membina negara yang lebih bersih dan berdaya saing.

KEBERSAMAAN DALAM PENGUKUHAN INTEGRITI

Hadiri yang dihormati sekalian.

  1. EAIC tidak bersendirian dalam usaha pengukuhan integriti. Setiap dari kita berperanan untuk membina sebuah negara yang lebih bersih, berintegriti, adil dan progresif. Ia memerlukan komitmen semua pihak.
  1. Kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga sangat menekankan kepentingan tatakelola dan membanteras rasuah terutamanya dalam perkhidmatan awam. Perkhidmatan kita mungkin memiliki undang-undang dan polisi yang terbaik. Akan tetapi, tanpa kesetiaan, integriti dan kecekapan dalam kalangan kita, undang-undang dan polisi terbaik pun tiada gunanya.
  1. Di kesempatan ini, saya ingin memetik pemerhatian YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara, mengenai dua cabaran utama perkhidmatan awam yang beliau sebutkan dalam ucapan amanatnya pada 10 September 2024, iaitu mentaliti ‘silo’ dan birokrasi yang masih mengakar dan penyampaian perkhidmatan yang ketinggalan zaman, kurang efektif, dan tidak berdaya saing.
  1. Cabaran ini bukanlah perkara baru, dan langkah untuk mengatasinya perlu dilaksanakan. Oleh itu, EAIC akan terus mengambil tindakan untuk menangani isu ini, khususnya dalam agensi penguatkuasaan yang berada di bawah seliaan kami.
  1. Bagi menghapuskan mentaliti ‘silo’ dan karenah birokrasi dalam kalangan penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan, satu pasukan petugas khas perlu diwujudkan terutamanya bagi menangani isu-isu serius melibatkan salah laku dan integriti dengan lebih berkesan.
  1. Pasukan petugas khas yang melibatkan pelbagai agensi seperti EAIC, SPRM, PDRM, dan lain-lain, membolehkan siasatan bersepadu terhadap anggota penguat kuasa. Siasatan ini dilakukan secara telus, menyeluruh, dan terbuka, mengelakkan pembaziran masa serta membolehkan tindakan tegas diambil untuk menghentikan ketirisan dan salah laku.
  1. Selain itu, EAIC akan menerapkan Strategi Lautan Biru dalam setiap program dan aktiviti pendidikan serta kesedaran integriti dan pencegahan salah laku dengan memperkukuhkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa, agensi Kerajaan, pemegang taruh, dan orang awam untuk memperluas capaian dan memudahkan pemantauan serta pelaporan pelanggaran salah laku, integriti, dan etika oleh penguat kuasa.
  1. EAIC menerima pelbagai aduan mengenai ketidakpuasan terhadap penyampaian perkhidmatan agensi penguatkuasaan yang tidak cekap dan membebankan orang awam. Untuk menangani isu ini, EAIC akan mengadakan sesi libat urus, pengauditan, dan pemantauan SOP untuk mengenal pasti kelemahan dan mengesyorkan penambahbaikan agar perkhidmatan lebih efisien dan memenuhi jangkaan masyarakat.
  1. EAIC menyokong penggunaan teknologi terkini untuk mengesan penyelewengan lebih awal, mencegah ketirisan, dan melindungi hasil negara. Sudah tiba masanya untuk mengubah sistem perkhidmatan di kaunter Kerajaan menjadi lebih efektif dan berdaya saing, dengan menghentikan operasi manual. Contohnya, sistem autogate di pintu masuk negara mempercepatkan pemeriksaan tanpa campur tangan pihak ketiga. Mesin pengimbas AI di pelabuhan akan memastikan pemeriksaan kontena yang teliti, manakala kamera badan di sektor perkhidmatan awam dan penguat kuasa akan meningkatkan produktiviti dan mengelakkan tohmahan. Semua ini akan memperkukuhkan sistem penyampaian Kerajaan.

UCAPAN TERIMA KASIH

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya ingin merakamkan penghargaan yang tulus kepada Yang Berhormat Datuk Hajah Rubiah Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, serta Kementerian Desa dan Wilayah dan kepada Tuan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Residen Kota Samarahan atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan Program ERAT EAIC Bersama Penguat Kuasa, Mahasiswa dan Masyarakat hari ini.
  1. Dengan itu, saya akhiri ucapan ini dengan harapan agar kita semua terus berusaha bersama, saling memberi sokongan, dan terus berkhidmat dengan penuh dedikasi. Semoga usaha kita diberkati dan dipermudah. Insya-Allah.

Sekian, terima kasih.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.