TEKS UCAPAN PERASMIAN

 

YANG BERHORMAT DATUK HAJAH RUBIAH BINTI HAJI WANG

TIMBALAN MENTERI KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH

PROGRAM ENCOURAGING RESPONSIBILITY ACCOUNTABILITY TRUSTWORTHINESS (ERAT) EAIC

BERSAMA PENGUAT KUASA, MAHASISWA & MASYARAKAT

9 NOVEMBER 2024

DEWAN PERTUBUHAN PELADANG

KOTA SAMARAHAN, SARAWAK

 

 

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera, Salam Malaysia Madani dan Salam Luar Bandar

Terima Kasih Saudara Pengacara Majlis.

__________________________________________________________

  • Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Ismail Haji Bakar, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC),
  • Yang Berusaha Tuan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Residen Bahagian Samarahan,
  • Yang Berbahagia Ahli-Ahli Pesuruhjaya EAIC,
  • Yang Berusaha Puan Asliza Ali, Ketua Pegawai Eksekutif EAIC,

 

  • Ketua-ketua Jabatan daripada sektor awam, termasuk agensi-agensi penguatkuasaan seliaan EAIC,
  • Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO),
  • Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Bahagian Samarahan,
  • Rakan-rakan Media,
  • Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian.

 

UCAPAN PENGHARGAAN

  1. Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin. Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, kerana dengan izin dan rahmat-Nya, kita dapat berhimpun dalam suasana harmoni di Program Encouraging Responsibility, Accountability, Trustworthiness – ERAT EAIC bersama Penguat Kuasa, Mahasiswa dan Masyarakat di Bumi Kenyalang pada hari ini. Saya berasa amat berbesar hati dan menyambut baik penganjuran program ini yang telah menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dan kaum setempat, yang pastinya sentiasa dekat di hati saya, selaku Ahli Parlimen Kota Samarahan.
  1. Sesungguhnya, kehadiran dan penglibatan semua pada hari ini adalah satu signal yang amat baik dalam menyatakan komitmen serta sokongan, terhadap agenda Kerajaan untuk memperkasa integriti perkhidmatan awam dan membanteras salah laku, khususnya dalam kalangan pegawai penguat kuasa. Kehadiran ini juga adalah cerminan kepada semangat kebersamaan dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat khususnya penduduk di luar bandar.
  1. Syabas kepada EAIC, KKDW, dan Pejabat Residen Bahagian Samarahan, atas gandingan kerjasama yang amat baik menganjurkan program ini yang bertepatan dengan objektif utamanya iaitu untuk merapatkan jurang - to bridge the gap antara kita semua khususnya penguat kuasa, mahasiswa dan masyarakat.
  1. Program ini juga seiring dengan sambutan Bulan Integriti Nasional Peringkat Kebangsaan yang baru sahaja dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri, pada 5 November 2024, dengan tema “Teguh Integriti, Kukuh Pertiwi.” Tema tersebut menekankan martabat pertiwi harus sejajar dengan jati diri, akhlak, dan sahsiah penduduk yang mengamalkan integriti.

 

  1. Oleh itu, saya berharap hadirin sekalian akan memanfaatkan setiap pengisian dan aktiviti program yang telah dirancang untuk hari ini. Semoga pertemuan dan penyatuan ini akan mengukuhkan komitmen kita dalam membina pertiwi yang sejahtera, makmur, dan berintegriti demi negara tercinta.

KEPERLUAN BADAN PEMANTAU INSTITUSI PERKHIDMATAN AWAM

Para hadirin yang dihormati sekalian,

  1. Dalam satu petikan temu bual bersama Akhbar Sinar Harian baru-baru ini, Tan Sri Dr. Ismail Hj Bakar telah menegaskan keperluan untuk menetapkan satu piawaian (benchmark) yang jelas bagi tahap integriti perkhidmatan awam, iaitu “untuk mencapai tahap integriti yang tertinggi, sehingga agensi seperti EAIC dan SPRM boleh ditutup kerana tiada lagi salah laku dan rasuah dalam negara”.
  1. Penyataan ini mencerminkan keberanian dan keinginan yang kuat untuk memperbaiki sistem serta membina kepercayaan dalam institusi Kerajaan. Benchmark ini memberikan isyarat yang jelas bahawa Kerajaan sentiasa komited dengan dalam usaha-usaha membanteras dan menghapuskan salah laku.
  1. Namun, penyataan ini juga menuntut kepada realiti bahawa badan pemantau masih diperlukan, untuk memastikan akauntabiliti serta kebolehpercayaan institusi perkhidmatan awam, dan di sinilah keperluan EAIC sebagai agensi semak dan imbang Kerajaan menjadi sangat penting dan relevan.
  1. Kerajaan telah memberi mandat kepada Suruhanjaya ini untuk memantau dan menyiasat tindakan pegawai penguat kuasa serta agensi penguatkuasaan persekutuan berdasarkan Akta 700. Tugas ini adalah penting untuk memastikan pegawai bertindak dalam batas kuasa dan undang-undang yang ditetapkan. Dengan adanya fungsi pengawasan seperti EAIC, kita dapat meningkatkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap agensi penguatkuasaan.

PEMANTAPAN TADBIR URUS DALAM PERKHIDMATAN AWAM

Hadirin yang dikasihi,

  1. Dalam usaha kita untuk menjadikan integriti sebagai budaya, kita tidak boleh mengabaikan kepentingan tadbir urus baik terutamanya di sektor awam dan swasta. Kerajaan MADANI amat komited dalam usaha memantapkan tatakelola dan menegakkan ketelusan serta akauntabiliti.
  1. Di sektor awam, kita melihat penjawat awam sebagai tulang belakang kepada penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran Kerajaan berada pada tahap tertinggi. Dasar-dasar yang sedang dilaksanakan seperti Strategi Pembenterasan Rasuah Nasional (NACS) adalah contoh keseriusan kerajaan dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

EAIC SEBAGAI SUBJECT MATTER EXPERT INTEGRITI

Tuan-tuan dan Puan-Puan,

  1. Sejak penubuhannya 13 tahun yang lalu, EAIC telah memainkan peranan yang amat penting dalam memupuk kesedaran dan memperkukuhkan amalan integriti, khususnya di kalangan pegawai penguat kuasa di negara kita. Sebagai subject matter expert dalam mengawasi dan menyelia integriti agensi-agensi penguatkuasaan di bawah Akta 700, EAIC mempunyai pengalaman lebih dari satu dekad dalam menangani isu integriti dan berpotensi untuk terus berkembang menjadi pusat kepakaran yang lebih komprehensif dalam memperkukuhkan integriti di kalangan penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan di negara ini.
  1. EAIC boleh meluaskan peranannya dengan memberi latihan dan bimbingan yang lebih terarah kepada agensi penguat kuasa, serta memperkenalkan mekanisme pemantauan canggih seperti yang disebutkan oleh Tan Sri Dr. Ismail dalam ucapan beliau tadi penggunaan teknologi terkini untuk mengesan penyelewengan lebih awal, mencegah ketirisan, dan melindungi hasil negara.
  1. EAIC juga boleh bertindak sebagai platform untuk melibatkan masyarakat dalam memerangi salah laku penguat kuasa, dengan memperkukuh saluran aduan dan memberi sokongan kepada mereka yang melaporkan penyelewengan, sekaligus membina ekosistem yang lebih berintegriti.
  1. Melalui kerjasama dengan agensi Kerajaan, NGO, dan pemimpin masyarakat, EAIC boleh membina jaringan sokongan yang kukuh dalam usaha mengurangkan kesalahan dan penyelewengan dalam kalangan penguat kuasa. Selain itu, EAIC juga mampu memperkenalkan dasar dan amalan terbaik serta menyarankan penambahbaikan dalam prosedur operasi standard (SOP) agensi penguat kuasa.
  1. Keseluruhannya, sebagai subject matter expert dalam integriti, EAIC akan memainkan peranan penting dalam membantu negara mencapai matlamat untuk menjadi sebuah negara yang lebih bersih, berintegriti, dan bebas daripada sebarang salah laku, selaras dengan tuntutan masyarakat yang semakin peka terhadap amalan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam perkhidmatan awam.

 

EAIC SEBAGAI PERISAI PENGUAT KUASA & MASYARAKAT

  1. “Takut kerana salah, berani kerana benar”. Jika seorang pegawai penguat kuasa itu benar-benar bersih dan jujur, mereka tidak perlu bimbang apabila disiasat oleh EAIC, kerana ia adalah satu mekanisme untuk membela diri daripada sebarang tuduhan yang tidak berasas dan memastikan keadilan dan kebenaran dalam setiap tindakan yang diambil.
  1. Oleh itu Suruhanjaya ini bukan sahaja berfungsi sebagai pelindung masyarakat, tetapi juga bertindak sebagai perisai kepada pegawai penguat kuasa yang berintegriti. Dalam keadaan ini, semua pihak baik orang awam mahupun pegawai penguat kuasa akan boleh menuntut keadilan dan perlindungan yang sewajarnya daripada EAIC.

KMKK PENJAGA INTEGRITI KOMUNITI

 Hadirin yang dihormati, khususnya para KMKK yang saya muliakan,

  1. Selain daripada agensi penguatkuasaan, saya ingin menekankan betapa pentingnya peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung (KMKK) sebagai barisan hadapan dalam menjaga integriti dan keharmonian komuniti. Tuan-tuan dan puan-puan adalah penghubung utama antara Kerajaan dan masyarakat setempat, serta bertindak sebagai “mata dan telinga” pihak berkuasa.
  1. Sebagai individu yang paling dekat dengan akar umbi, KMKK mampu mengesan dan melaporkan sebarang salah laku, penyelewengan, atau pelanggaran integriti yang berlaku di peringkat tempatan, sekaligus menjadi pemangkin dalam usaha mengekalkan ketelusan dalam pentadbiran dan pembangunan komuniti. Peranan ini adalah satu tanggungjawab yang besar dan memerlukan integriti yang tinggi dalam menjalankan tugas.
  1. Sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, KMKK bukan sahaja berfungsi sebagai saluran komunikasi untuk menyampaikan maklumat dan aspirasi Kerajaan kepada masyarakat, tetapi juga berperanan penting dalam memastikan bahawa segala tindakan yang dilakukan di peringkat tempatan adalah berasaskan prinsip ketelusan dan kejujuran.
  1. Sebagai penjaga integriti komuniti, KMKK perlu memastikan setiap perancangan dan tindakan yang diambil di peringkat kampung atau daerah adalah bebas daripada unsur penyelewengan, dan semua projek atau inisiatif yang dijalankan mempunyai tujuan yang jelas serta memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat. Dalam hal ini, integriti menjadi asas kepada kejayaan mana-mana program pembangunan yang dilaksanakan.
  1. Dengan pengaruh dan kepercayaan yang telah diberikan kepada tuan-tuan dan puan-puan sebagai KMKK, saya yakin bahawa tuan-tuan dan puan-puan mampu memainkan peranan yang amat penting dalam membantu masyarakat memahami serta menyokong peranan EAIC.
  1. Selain itu, tuan-tuan dan puan-puan juga diharapkan dapat memastikan bahawa segala inisiatif pembangunan yang dilaksanakan di kampung dan kawasan masing-masing adalah jelas dan telus dalam setiap langkah, supaya tiada ruang untuk penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa. Kejujuran dan keterbukaan dalam setiap tindakan akan membina kepercayaan masyarakat terhadap Kerajaan, sekaligus menjadikan komuniti lebih harmoni dan berkembang dengan baik.
  1. Dengan kerjasama yang erat antara KMKK, pihak berkuasa, dan masyarakat, saya percaya kita dapat mewujudkan sebuah komuniti yang bukan sahaja maju, tetapi juga berlandaskan prinsip integriti yang kukuh.

TUNTUTAN ERAT UNTUK KEMAJUAN NEGARA

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Akronim program pada hari ini iaitu ERAT yang membawa maksud Encouraging Responsibility Accountability Trustworthiness adalah satu tuntutan kepada elemen yang penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni.
  1. Justeru penguat kuasa yang berintegriti harus meletakkan ciri-ciri bertanggungjawab, berakauntabiliti, dan bolehdipercayai agar menjadi setiap tindak tanduk sentiasa menjadi teladan segenap lapisan masyarakat dalam menjalani kehidupan harian.
  1. Tanpa penguatkuasaan yang telus, kita berisiko menghadapi penyalahgunaan kuasa yang boleh merosakkan kepercayaan rakyat. Oleh itu, pemantauan yang teliti diperlukan untuk mencegah penyalahgunaan kuasa, kerana agensi yang berintegriti adalah kunci kepada kemajuan desa.
  1. Apabila masyarakat yakin agensi penguatkuasaan bertindak dengan integriti, mereka akan lebih bersemangat menyokong inisiatif pembangunan dan projek yang meningkatkan taraf hidup. Penguatkuasaan yang berintegriti bukan sahaja memulihkan kepercayaan rakyat, tetapi juga membuka peluang untuk pertumbuhan ekonomi dan sosial, serta menyumbang kepada kemajuan negara.

PERINGATAN TIDAK MENGAMBIL JALAN MUDAH

Hadirin sekalian,

  1. Dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab kita, kita tidak boleh lari daripada kesilapan atau kekurangan yang mungkin berlaku. Namun, apabila berhadapan dengan sebarang masalah atau kesilapan, saya ingin mengingatkan agar kita semua untuk tidak mengambil jalan mudah dengan 'menyapu kesilapan itu di bawah karpet'.
  1. Apa yang dimaksudkan dengan 'jangan letak bawah karpet' adalah kita tidak boleh menutup atau menyembunyikan masalah tersebut. Sebaliknya, kita perlu berani untuk menghadapinya dengan penuh tanggungjawab dan ketelusan. Jika ada kesilapan atau kekurangan, akuilah dan ambil tindakan yang betul untuk memperbaikinya.
  1. Hanya dengan cara ini kita dapat menjaga integriti kita, memastikan sistem yang kita jalankan terus diyakini dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Ingatlah, menyembunyikan kesilapan hanya akan memperburuk keadaan. Sebaliknya, dengan ketelusan dan keberanian untuk memperbaiki kesilapan, kita akan mengukuhkan lagi kepercayaan orang ramai terhadap agensi dan perkhidmatan awam yang kita wakili.
  1. Sekecil-kecil tindakan seperti meletakkan kenderaan di tapak parkir OKU, membuang sampah dari kereta, atau melanggar lampu isyarat akan membentuk pandangan masyarakat terhadap nilai-nilai dan prinsip yang kita junjung. Tindakan-tindakan ini, walaupun tampak remeh, memberi kesan yang besar terhadap persepsi masyarakat dan mencerminkan integriti kita sebagai individu.
  1. Kita juga akan merosakkan harapan dan masa depan generasi akan datang. Bayangkan jika anak-anak kita melihat contoh buruk di sekeliling mereka, mereka akan terbentuk dengan nilai-nilai yang salah, dan ini akan menjadi kitaran yang sukar untuk dipecahkan. Apakah ini yang ingin diwariskan kepada legasi kita?
  1. Oleh itu tuan-tuan dan puan-puan, dalam menutup ucapan ini, marilah kita tanamkan kesedaran bahawasanya, setiap langkah kecil yang diambil hari ini akan menjadi titik permulaan kepada perubahan yang besar dalam kehidupan.
  1. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Program Encouraging Responsibility Accountability Trustworthiness – ERAT EAIC Bersama Penguat Kuasa, Mahasiswa dan Masyarakat di Sarawak.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.